Khamis, 12 April 2012

MINGGU PANITIA PENDIDIKAN ISLAM

Setiap tahun semua panitia di sekolah menjalankan aktiviti untuk murid-murid mereka. Tidak ketinggalan juga, Panitia Pendidikan Islam SK Dusun Tua telah merancang aktiviti yang boleh menarik minat murid kearah mencapai objektif yang bersesuaian dengan murid kita.

Antara objektifnya adalah ;

Melahirkan murid-murid yang berketrampilan dalam bidang Pendidikan Islam ;

Menjadikan Pendidikan Islam sebagai wadah ilmu dengan mengamalkan doa harian ;

Memupuk minat agar mencintai agama Islam, serta menjadikan murid-murid celik Jawi melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.

Antara pengisian aktiviti yang dirancang oleh panitia Pendidikan Islam adalah seperti berikut ;

Tahun 1 – menulis huruf jawi dan menyambung huruf jawi

Tahun 2 – menjawikan satu suku kata dan 3 suku kata

Tahun 3 – menghafaz 10 doa harian

Tahun 4 – menghafaz asma’ul husna dan kuiz

Tahun 5 – membaca jawi lancar dan kuiz

Tahun 6 – pertandingan menulis khat dan kuiz

Selepas semua aktiviti berjalan, murid-murid yang berjaya telah diberi hadiah serta ganjaran kepada para pemenang. Semua guru Panitia Pendidikan Islam mengucapkan syabas dan tahniah kepada murid-murid yang memberi komitmen terbaik kearah memartabatkan murid Islam cerdik jawi, al-Quran dan fardhu ‘ain.

- Laporan oleh ; Pn. Salina Khalid, Ketua Panitia Pendidikan Islam

Sabtu, 7 April 2012

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT SEKOLAH

Sambutan hari kebesaran Islam merupakan salah satu acara tahunan yang mesti ada dalam kalendar Panitia Pendidikan Islam. Ini bertujuan memperingati peristiwa penting dalam sejarah Islam.

Seiring dengan perkembangan negara yang semakin maju, mengakibatkan anak-anak terdedah dengan aktiviti dan gejala sosial yang semakin jauh dari landasan agama Islam. Program in dijalankan bagi menarik minat murid SKDT untuk mendalami ilmu agama agar dapat memberi satu impak yang besar dalam diri murid itu sendiri.

Oleh itu, pada 17 Februari lalu, Panitia Pendidikan Islam telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah dengan tema ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’. Antara pengisian aktiviti murid berkumpul di dataran perhimpunan, guru kelas mengambil kedatangan murid disusuli dengan bacaan Yaasiin serta ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Ustaz Amran Mansor. Kemudian, murid-murid berarak mengelilingi padang sekolah sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw.

Pada jam 9.00 – 10.00 pagi, murid prasekolah mengikuti pertandingan mewarna, manakala murid Tahun 1 – 3 menjawab soalan kuiz mengenai kelahiran Rasulullah saw. Murid-murid tahap 2 pula terlibat dalam pertandingan nasyid di Dewan SKDT. Selepas waktu rehat, murid-murid mengikuti sesi pembelajaran seperti biasa mengikut jadual waktu. Semua pemenang dalam acara berkenaan diberi hadiah oleh pihak penganjur.

- Laporan oleh: Pn. Salina Khalid, Ketua Panitia Pendidikan Islam SKDT

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..