Ahad, 28 Februari 2010

Kejohanan 'ROAD RUN' SK DUSUN TUA 2010

Kejohanan 'Road Run' diadakan pada 20 Januari lalu. Murid-murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) terlibat dalam acara larian, manakala murid-murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) pula mengikuti Pertandingan Melukis dan Mewarna.
Kemeriahan di dalam dewan tempat pertandingan melukis dan mewarna bagi Tahap 1 dapat dilihat dalam foto di bawah.
Para petugas, marsyal dan semua guru serta beberapa orang AJK PIBG telah menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh komitmen.

Keselamatan peserta larian juga amat dititikberatkan. Alhamdulillah, tiada sebarang kejadian buruk yang berlaku.

YDP PIBG , En. Ahmad Kamal Dahlan berkenan menyampaikan ucapan perasmian penutup kejohanan. Hadiah-hadiah kepada pemenang pula disampaikan oleh Guru Besar SKDT, Pn. Hjh. Masirah Rahmad dan GPK HEM, En. Adlan Mohd. Ali.

Semoga kejohanan ini dapat melahirkan atlet olahraga yang berbakat untuk negeri mahupun negara.






Rabu, 10 Februari 2010

HARI KONFERENSI IBU BAPA PENJAGA MURID TAHUN 6 2010

Bertempat di Dewan SK Dusun Tua, pada 16 Januari lalu, telah diadakan program perjumpaan antara ibu bapa penjaga murid Tahun 6 sesi 2010, dengan pihak pentadbir serta guru-guru akademik yang mengajar di Tahun 6.

Program yang diatur antara lain bermatlamatkan perbincangan dua hala untuk mempertingkatkan prestasi anak-anak dalam menghadapi UPSR 2010. Selain itu, turut diadakan ceramah keibubapaan yang disampaikan oleh Tn. Samsudin bin Mohamed, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Kaunseling, JPA, Putrajaya.

Tn. Samsudin telah memberikan tips berkaitan mendidik anak-anak ke arah mencapai kecemerlangan. Panduan yang diberikan beliau amat berguna buat ibu bapa memanfaatkannya kepada anak masing-masing. Beliau turut melibatkan beberapa orang murid dalam aktiviti kecerdasan minda.

Selepas rehat, hadirin didedahkan dengan analisa pencapaian murid Tahun 5 dalam PKSR akhir tahun 2009, sebagai perbandingan jangkaan prestasi bagi murid Tahun 6 2010. Pn. Hjh. Kasmani Salleh (GPK Kurikulum) telah membentangkan program yang telah dirancang bagiJustify Fullmeningkatkan pencapaian UPSR 2010. Ibu bapa penjaga murid turut berpeluang bersoal jawab serta memberikan cadangan yang perlu, dalam suasana harmoni.


Semoga pihak ibu bapa murid terus menyumbang idea, sokongan moral dan material dalam memajukan anak didik SKDT.

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..