Isnin, 7 Disember 2009

TAHNIAH BUAT DUA “AD”


Keputusan UPSR 2009 telah diumumkan. Seramai dua orang murid kita telah mencapai keputusan cemerlang dengan mendapat 5A. Mereka ialah Nor Adila Abdul Malek dan Nor Addina Sofeya Abd. Rahim dari kelas 6 Murni.

Manakala 10 orang mendapat 4A dan 1B, serta 2 orang mencapai 4A dan 1C.

Warga SKDT mengucapkan ‘SYABAS & TAHNIAH’ buat mereka.

Semoga pencapaian mereka berpanjangan hingga ke menara gading suatu hari nanti.

Jumaat, 4 Disember 2009

PROGRAM SKDT MERAPATKAN UKHUWAH WARGANYA

Berikut adalah beberapa program sekolah yang sempat dirakamkan sekitar Oktober dan November lalu.

1. SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK PERINGKAT SEKOLAH


-Persembahan pakaian beragam daripada murid-murid kembar SKDT menarik perhatian penonton


- Selain itu, turut dipersembahkan sketsa drama daripada murid Tahap 2 dan nyanyian murid Tahap 1

2. KONVO PRASEKOLAH SESI 2009


- Majlis konvokesyen murid prasekolah Intan dan prasekolah Permata, dilaksanakan dengan jayanya.


- Ibu bapa murid turut serta memeriahkan majlis. YDP PIBG juga hadir bagi menyampaikan sijil dan hadiah kepada murid-murid.

3. BERSAMA NOVELIS & PENULIS SKRIP DRAMA/FILEM - SHARIFAH ABU SALEM


- Beliau adalah bekas murid SKDT. Beliau tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman sebagai penulis novel dan skrip, di samping turut memberi motivasi kepada murid-murid untuk menceburi bidang penulisan.

4. KEM BESTARI SOLAT


- Panitia Pendidikan Islam, bersama guru-guru berganding bahu membimbing anak-anak mempelajari ibadah solat secara teori dan praktikal.

(*Pihak pengendali blog hemskdt.blogspot.com memohon maaf kepada para pengunjung atas kelewatan memuatkan gambar aktiviti tersebut)

Ahad, 22 November 2009

MENJAMU SELERA MENANDAKAN BAKAL BERPISAH..


1. MAJLIS JAMUAN TAHUN 6 (SESI 2009)
Jamuan bagi murid-murid Tahun 6 telah diadakan pada 13 November 2009, sebagai suatu majlis perpisahan.


2. MAJLIS JAMUAN PENGAWAS
Jamuan akhir tahun Lembaga Pengawas Sekolah telah diadakan pada 12 November 2009

TAKLIMAT KE SEKOLAH MENENGAH (TINGKATAN 1 2010)



> Normal 0 false false false MicrosoftInternetExplorer4

Atas nama Lawatan Jalinan Mesra, dua orang guru SMK Abdul Jalil – iaitu Cikgu Saferi dan Cikgu Hayati, telah datang ke sekolah kita pada 2 November lalu untuk memberikan taklimat kepada murid-murid Tahun 6, tentang kenaikan ke sekolah menengah pada tahun hadapan.

En Saferi dan Pn. Hayati telah menerangkan mengenai peraturan dan undang-undang sekolah, dokumen yang perlu disempurnakan sewaktu pendaftaran serta sesi soal jawab bagi sebarang kemusykilan yang dihadapi murid.

Penerangan yang disampaikan amat jelas dan berguna sebagai panduan persediaan murid-murid kita nanti.

Selasa, 3 November 2009

PENUTUP KARNIVAL KOKURIKULUM 2009

Pada tahun ini, beberapa acara telah diadakan sempena penutup Karnival Kokurikulum. Acara diadakan serentak dengan aktiviti jualan langsung Bulan Panitia KH dan PJK.

Acara 'Rounders' yang melibatkan guru/staff merupakan acara yang paling meriah di mana rata-rata guru/staff 'tidak biasa' dengan permainan ini. Lantaran itu, ada yang tidak dapat memukul bola dengan tepat, selain memukul angin!

Turut diadakan adalah acara Ping Pong, khusus buat guru/staff lelaki, serta membuat sandwich kreatif bagi guru/staff perempuan.
Menurut Pn. Nikmah Abdullah (GPK Kokurikulum), acara yang diadakan antara lain bagi mengukuhkan ukhuwah yang terjalin sesama staff akademik dan non-akademik. Dengan acara yang diadakan itu, mudah-mudahan suasana kekeluargaan yang dirasai akan mendorong kerjasama yang lebih jitu dan harmoni.




JUALAN LANGSUNG SEMPENA BULAN PANITIA KH & PJK

Pelbagai acara telah diadakan sepanjang Bulan Panitia Kemahiran Hidup & Pendidikan Jasmani Kesihatan. Antara yang paling meriah adalah aktiviti jualan lansung yang dikendalikan sepenuhnya oleh murid-murid Tahun 4, 5 dan 6.

Selain pelbagai juadah makanan dan minuman, murid-murid turut menyediakan permainan 'Play Station' dan Rumah Hantu.

Bukan sahaja murid-murid yang terlibat membeli makanan/minuman yang dijual, guru-guru juga turut mengeluarkan belanja untuk menikmati hidangan yang disajikan. Tidak ketinggalan, ibu bapa murid yang turut membantu anak-anak mereka menjual.

Meskipun aktiviti ini sebenarnya melatih anak-anak berniaga, dan juga diadakan secara tertutup, namun kehadiran ibu bapa murid ke acara jualan langsung ini tidak dapat disekat. Ia juga berjaya menambah seri program ini.

Semoga program seumpama berjaya menyemai minat berniaga dan berdikari di kalangan anak-anak didik SK Dusun Tua.

Ahad, 1 November 2009

PROGRAM PEMANTAPAN JATI DIRI UNTUK KECEMERLANGAN AKADEMIK

Program peningkatan akademik ini dianjurkan oleh Jiran Wanita KRT Taman Desa Sentosa, dengan kerjasama SK Dusun Tua. Program ini menyasarkan murid-murid Tahun 5, yang akan menghadapi UPSR 2010.

Seramai kira-kira 110 orang murid sekolah kita terlibat. Turut diundang adalah murid-murid dari sekolah Kelompok 5 RIMUP iaitu SJKC Choon Hwa Batu 18 yang menghantar 5 orang murid, SK Lubok Kelubi (10 orang) dan SK Kuala Pomsoon (10 orang).

Program ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh Saujana Motivasi Enterprise yang diketuai En. Kamaruddin Kassim. Beliau turut dibantu oleh beberapa petugasnya bagi melancarkan perjalanan program motivasi tersebut.

Semoga program ini berjaya memberi kesedaran dan dorongan kepada calon UPSR 2010 untuk merangka persediaan awal bagi mencapai kejayaan kelak.

TERIMA KASIH’ daripada pihak SK Dusun Tua kepada Jiran Wanita KRT Taman Desa Sentosa atas kesudian menaja program ini.

MAJLIS KHATAM AL-QURAN

Panitia Pendidikan Agama Islam telah mengadakan aktiviti tadarrus al-Quran, yang disertai murid-murid Tahun 6 bermula 28 September hingga 8 Oktober lalu.

Ustaz Nor Azamri Ishak dan Ustazah Junaidah Kamaruddin telah bertindak selaku pembimbing.

Seramai 7 orang murid lelaki dan 21 orang murid perempuan telah berjaya mengkhatamkan Quran, dan satu majlis meraikan mereka telah dibuat pada 9 Oktober lalu.

Pada majlis perasmian penutup Ihya Ramadhan itu, Pn. Hjh. Masirah Rahmad (Guru Besar) , telah menyeru murid-murid supaya rajin membaca, mendengar serta menghayati ayat-ayat suci al-Quran. Mereka juga diingatkan tentang banyak fadilat yang boleh diperolehi dengan mengamalkan ayat-ayat al-Quran, misalnya bagi mengelakkan gangguan syaitan.

Pada majlis itu, acara nasyid turut dipersembahkan. Setiap murid membawa 3 tangkai bunga telor untuk diberi kepada para hadirin.

Semoga anak didik SK Dusun Tua menjadikan bacaan al-Quran satu amalan yang berterusan, serta menjadikan al-Quran sebagai teras kehidupan untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Selasa, 27 Oktober 2009

MAJLIS HARI LAHIR PRASEKOLAH

Seramai 17 orang murid PraIntan, telah diraikan dalam satu majlis sambutan hari lahir bagi bulan Julai-Disember.

Guru Kelas PraIntan, Pn. Azura Farina Abdullah berkata, majlis diadakan dua kali setahun, iaitu bagi murid yang lahir pada Januari-Jun, dan Julai-Disember.

Pada majlis jamuan ini, Cik Fadzilahanum Roslan (Pembantu Pengurusan Murid) dan Pn. Suhaila Yusof (AJK Pewaris) bertindak menyediakan juadah, selain makanan yang disumbangkan oleh ibu bapa penjaga murid.

Meskipun majlis diadakan secara sederhana, namun bagi anak-anak prasekolah ini, ianya amat bermakna bagi mereka kerana diri mereka terasa dihargai.

Semoga Allah memanjangkan usia mereka dengan rahmat keberkatan-Nya, dimurahkan rezeki serta berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Amiin...

Isnin, 26 Oktober 2009

MAJLIS SAMBUTAN LEBARAN - PERINGKAT SEKOLAH

Majlis yang saban tahun ini diadakan bertujuan merapatkan hubungan 'kekeluargaan' warga SK Dusun Tua - guru-staf-murid.

Bertempat di dataran perhimpunan, dua buah canopy disediakan untuk ruang mengumpul makanan- yang sepenuhnya dibawa oleh murid-murid serta staf akademik dan sokongan sekolah.

Setiap aliran diagihkan jenis makanan yang perlu dibawa agar menu yang disajikan itu pelbagai dan rencam.

Suasana perayaan lebih dirasai apabila setiap warga sekolah digalakkan memakai pakaian raya. Lagu hari raya yang dimainkan juga menjadikan suasana sambutan begitu meriah.

Semoga majlis sambutan perayaan ini berjaya mencapai objektifnya iaitu merapatkan ukhuwah sesama warga sekolah.

Rabu, 21 Oktober 2009

RIMUP KELOMPOK 5 – FUTSAL

Pada tahun ini, aktiviti futsal mengisi program RIMUP Kelompok 5. Sekolah yang terlibat adalah SK Lubok Kelubi sebagai tuan rumah, SK Dusun Tua, SK Kuala Pomsoon dan SJKC Choon Hwa Batu 18.

Acara dibahagikan kepada kategori lelaki dan perempuan. Setiap pasukan mengandungi 5 orang pemain utama dan 2 orang pemain simpanan. Kejohanan berlangsung pada 6 Oktober lalu bertempat di padang SK Lubok Kelubi.

Pasukan SK Dusun Tua telah dilatih oleh En. Ibraheem Zulkiflee, manakala Cik Nor Hafizah pula bertindak sebagai jurulatih skuad perempuan.

Berikut adalah keputusan yang dicapai oleh pasukan SK Dusun Tua ;

Pasukan Lelaki :-

SK Dusun Tua ( 7 ) lwn SJKC Choon Hwa Batu 1 ( 0 )

SK Dusun Tua ( 2 ) lwn SK Kuala Pomsoon ( 0 )

SK Dusun Tua ( 1 ) lwn SK Lubok Kelubi ( 1 )

Pasukan Perempuan :-

SK Dusun Tua ( 2 ) lwn SK Kuala Pomsoon ( 0 )

SK Dusun Tua ( 3 ) lwn SJKC Choon Hwa Batu 18 ( 0 )

SK Dusun Tua ( 0 ) lwn SK Lubok Kelubi ( 1 )


Kedua-dua pasukan sekolah kita telah muncul sebagai Naib Johan, di belakang pasukan SK Lubok Kelubi. Pasukan Lelaki SK Dusun Tua kekurangan jaringan menyebabkan kita sekadar berpuashati di tempat kedua, walaupun mempunyai mata yang sama dengan pasukan SK Lubok Kelubi.

Apapun, SYABAS dan TAHNIAH kepada pasukan sekolah kita atas pencapaian ini meskipun agak baru dengan permainan futsal. Semoga terus berjaya pada masa hadapan.

MENZIARAHI adik MUHAMMAD IKHSAN BIN ABDUL KARIM



Warga SK Dusun Tua turut bersimpati dengan nasib yang dialami oleh seorang murid sekolah kita, iaitu adik Muhammad Ikhsan bin Abdul Karim (Tahun 5 Mulia), atas kemalangan yang menimpanya bersama ibu dan bapanya.

Dalam kejadian pagi 30 Ogos lalu, kereta Kancil yang dipandu bapanya telah dilanggar oleh sebuah trailer yang terbabas berdekatan Pintu Gerbang Kota Darul Ehsan di Lebuhraya Persekutuan. Mereka dalam perjalanan untuk membeli pakaian hari raya yang bakal menjelang.

Bapa Muhammad Ikhsan, telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dia serta ibunya mengalami kecederaan parah. Mereka telah mendapat rawatan selama beberapa minggu di Hospital Universiti.

Warga kerja SK Dusun Tua telah berpeluang menziarahi mangsa setelah dia pulang ke rumah mereka di Kampung Darul Hidayah, Dusun Tua, serta menyampaikan derma kilat daripada warga sekolah.

Kepada keluarga adik Muhammad Ikhsan Abdul Karim, warga sekolah berharap agar dia bersabar dengan suratan takdir, serta didoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh arwah bapanya.

Al-Fatihah!

*Catatan PK HEM – Tulisan ini lewat dimasukkan kerana terdapat masalah teknikal.

Selasa, 29 September 2009

TERIMA KASIH, PARA PELATIH DI SKDT..

SK Dusun Tua telah menerima seramai 8 orang guru pelatih (KPLI) yang menjalani latihan praktikum bermula 22 Jun lalu, dan berakhir pada 18 September.

Mereka ialah En. Mohd. Noorshamsuri Khamaluddin, En. Mohd. Faisal Mamat, Cik Nurul Hidaya Yahya, dan Cik Rofadulakma Hussain dari Institut Perguruan Islam Selangor (IPIS).
Turut menjalani praktikum di SKDT adalah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu Cik Nur Syuhada Sulaiman dan Cik Nor Hafizah Ismail, serta pelatih Institut Perguruan Teknik (IPT) Cik Faizulaini Abd. Fathi dan Cik Emi Fadhilah Deraman.

Selama menjalani latihan praktikum, banyak sumbangan yang telah diberi oleh pelatih-pelatih berkenaan kepada pihak sekolah.
Justeru, pihak SKDT merakamkan ungkapan - "TERIMA KASIH, buat kalian. SEMOGA BERJAYA MENJADI PENDIDIK TERBAIK".

En. Mohd. Noorshamsuri Khamaluddin dan En. Mohd. Faisal Mamat mengambil kesempatan bergambar dengan barisan pentadbir, rakan guru dan murid-murid.

MAJLIS SUMBANGAN KEPADA ANAK YATIM & MISKIN

Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidil Fitri, pihak sekolah tidak melupakan nasib anak-anak yatim dan miskin warga SKDT. Saban tahun, acara sumbangan (wang) kepada mereka, dibuat menjelang cuti perayaan tersebut.
Seramai hampir 30 orang anak-anak yatim dan miskin menerima sumbangan berkenaan daripada Pn. Hjh. Masirah Rahmad, Guru Besar SKDT dalam majlis yang serba ringkas tetapi amat bermakna kepada anak-anak ini.

Pada akhir majlis, turut diadakan sesi bersalaman dan bermaafan antara warga pendidik, staf sokongan serta murid-murid.
Bermaaf-maafan, menghilang yang keruh, menjernih suasana. Linangan airmata, tanda penuh ketulusan. Erat pelukan, akrab persaudaraan.

MAJLIS PENUTUP BULAN KEMERDEKAAN

Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan diadakan pada 16 September lalu bertempat di Dewan SKDT. Pelbagai acara dijalankan seperti persembahan para pemenang dalam pertandingan lagu patriotik, bacaan Rukunegara, selain turut dipamerkan Kad Ucapan Kemerdekaan Gergasi.
Selama sebulan sambutan kemerdekaan, acara-acara yang dijalankan menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada murid-murid.

Semoga program yang dilaksanakan itu mampu menyemai dan memupuk semangat patriotik di kalangan anak-anak SKDT.

Selasa, 8 September 2009

TERIMA KASIH, KPM!

TERIMA KASIH - Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), kerana sentiasa prihatin terhadap kebajikan murid/pelajar. Sememang banyak bantuan yang telah KPM beri antaranya Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Skim Baucer Tuisyen (SBT), dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Terkini, dalam menangani wabak Influenza A H1N1, KPM telah menyumbang topeng hidung/mulut kepada murid/pelajar. Difahamkan, KPM telah memperuntukkan sejumlah RM5 juta bagi kos pemberian topeng hidung/mulut, sanitizer dan alat termometer ke sekolah-sekolah seluruh negara.

Pemberian kali kedua ini, khusus kepada calon UPSR. Setiap murid dibekalkan tiga keping topeng (satu, sehari), selain sanitizer bertujuan mencegah penularan wabak penyakit tersebut di kalangan calon UPSR.

Pihak KPM juga turut memberi penerangan dan panduan kepada semua pengetua/guru besar usaha-usaha serta langkah pencegahan yang perlu diambil bagi menghadapi ancaman H1N1 ini.

Pihak ibu bapa penjaga murid perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak sekolah dengan sebarang tindakan yang dilaksanakan, demi kebaikan bersama.

SELAMAT MENGHADAPI UPSR. SEMOGA BERJAYA!

Isnin, 7 September 2009

MAJLIS MOHON RESTU - CALON UPSR

Murid-murid Tahun 6 seluruh negara akan menghadapi UPSR bermula Selasa ini (8 September), hingga Khamis (10 September). Seperti biasa, menjelang peperiksaan, satu majlis 'Mohon Restu' telah diadakan pada pagi 5 September bertempat di dataran perhimpunan.

Pn. Hjh. Masirah Rahmad (Guru Besar) dan Pn. Kasmani Salleh (GPK Kurikulum) telah menyampaikan beberapa amanat dan nasihat kepada calon-calon UPSR sekolah. Dorongan dan kata-kata nasihat pada saat akhir ini diharapkan mampu membakar semangat mereka dalam menghadapi UPSR nanti.

Pada majlis itu juga, calon-calon UPSR telah diberikan alat tulis hasil sumbangan pihak sekolah. Semoga anak didik SKDT berjaya di dalam UPSR nanti.

Sabtu, 5 September 2009

PEMBERIAN TOPENG MULUT/HIDUNG

Sebelum cuti pertengahan penggal lalu, pihak Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat (PPDHL) telah mengedarkan topeng mulut/hidung, sanitizer dan termometer kepada sekolah-sekolah di Hulu Langat. Ianya adalah sumbangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam usaha menangani wabak influenza A H1N1 di kalangan pelajar sekolah.

Memandangkan bilangan topeng mulut/hidung yang diberi tidak mengikut jumlah ramai pelajar di sesebuah sekolah, maka pihak SKDT mengambil keputusan mengagihkan topeng tersebut kepada murid-murid yang menerima bantuan KWAPM, miskin serta anak-anak yatim.

Pemberian telah dibuat pada pagi Jumaat, 4 September. Seramai 50 orang murid bantuan KWAPM dan kurang 20 orang anak yatim menerima topeng hidung/mulut berkenaan. Guru Bimbingan & Kaunseling, Pn. Hjh. Nyai @ Mariani Ujud, telah membantu mengagihkan topeng kepada para penerima.

Semoga murid-murid tersebut menghargai pemberian itu dengan memanfaatkannya, seterusnya diharapkan tiada warga SKDT yang mengalami wabak penyakit berkenaan.

Rabu, 2 September 2009

BULAN KEMERDEKAAN (PERINGKAT SEKOLAH)


Pelancaran Bulan Kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan Ke-52, telah dibuat pada 17 Ogos lalu. Panitia Kajian Tempatan, Panitia Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan, Panitia Pendidikan Seni dan Panitia Pendidikan Muzik telah bekerjasama merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti melibatkan warga SKDT.

Program yang berjalan selama sebulan ini bertujuan menyemai perasaan cintakan tanahair, memupuk semangat patriotik, mengamalkan toleransi demi perpaduan, di samping mencungkil bakat seni dan daya kreatif murid-murid.

Antara aktiviti yang diadakan ialah Pertandingan Mencipta Kad Ucapan Gergasi, Pertandingan Menghias Kelas, Pertandingan Lagu Patriotik, Pertandingan Basikal Patriotik dsb.

Semoga warga SKDT dapat melibatkan diri dalam segala aktiviti yang dianjurkan, demi mewujudkan warga Malaysia yang setia serta kuat semangat patriotismenya terhadap nusa dan bangsa.

KELAS TAMBAHAN PADA CUTI SEKOLAH

Sebagai mengisi waktu cuti persekolahan pertengahan penggal kedua, Jawatankuasa Program Peningkatan UPSR telah mengadakan kelas tambahan bagi murid-murid Tahun 6.

Meskipun banyak sekolah dalam Zon Cheras tidak mengadakan kelas tambahan kepada calon UPSR, memandangkan bulan puasa, namun demi meningkatkan kefahaman serta pengukuhan kepada murid-murid SKDT, justeru ianya diadakan.

Kelas tambahan diadakan selama tiga hari bermula Isnin (24 Ogos) hingga Rabu (26 Ogos), jam 8.00 - 11.30 pagi.

Semoga inisiatif yang dijalankan oleh guru-guru Tahun 6 yang diketuai Pn. Hjh. Sharah Ibrahim selaku Penyelaras Tahun 6, akan membuahkan hasil yang baik terhadap anak didik SKDT.
Insya-Allah.

Isnin, 24 Ogos 2009

SKDT TUAN RUMAH PERTANDINGAN 'LINE OF FIVE'


SK Dusun Tua telah menjadi tuan rumah bagi Pertandingan 'Line of Five', Panitia Matematik Sekolah Rendah Daerah Hulu Langat.

Sebanyak 32 buah sekolah rendah telah menyertai pertandingan yang julung kalinya diadakan di daerah ini.

Objektif pertandingan tersebut adalah seperti berikut;
* Menarik minat murid terhadap pembelajaran Matematik dan dapat menimbulkan keseronokan dalam aktiviti ini
* Meningkatkan gerak minda murid dalam menguasai kemahiran 4 operasi dalam Matematik
* Mewujudkan budaya persaingan yang sihat dan memberangsangkan, kerjasama, keyakinan diri dan nilai-nilai murni yang lain.

Pengerusi Panitia Matematik Daerah (Sekolah Rendah), Pn Salma Deraman (Guru Besar SK Taman Kosas) selaku Penasihat pertandingan, berharap aktiviti ini dapat dilaksanakan dengan lebih lancar pada tahun hadapan. Perkara kali dianjurkan, ia memakan masa yang agak lama kerana melibatkan dua pusingan awal, seterusnya peringkat kalah mati, separuh akhir dan akhir. Beliau juga turut berpuashati kerana dalam suasana negara dilanda wabak Influenza A H1N1, penyertaan daripada sekolah-sekolah amat menggalakkan.

Keputusan Pertandingan 'Line of Five' adalah seperti berikut.
Johan : LOH ZHIA HOWE (SJKC Balakong)
Naib Johan : RAIHAN NAJIHAH MOHD. RAZIFF (SK Saujana Impian)
Ketiga : CHEONG SHARON (SK Kajang Utama)
Manakala hadiah saguhati dimenangi M.Afiq Hazmi (SK Kg Cheras Baru), Nur Razani Amalia Abd. Razak (SK Kajang Utama), Abdul Syahid Abdul Rashid (SK Ampang), Solahuddin Hibatur Rahman (SK Seksyen 7, BB Bangi), dan Anis Nadirah Othman (SK Taman Bukit Teratai).

Wakil SK Dusun Tua meskipun tidak memenangi sebarang hadiah, namun pencapaian ke pusingan kalah mati, masih dianggap baik kerana permainan 'Line of Five' ini dipelajari hanya seminggu sebelum menyertai pertandingan. Semoga pada tahun hadapan, ada wakil sekolah kita yang mencapai kejayaan dalam pertandingan ini.

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..