Khamis, 7 April 2011

KURSUS KEPIMPINAN PENGAWAS 2011

Pada 19hb Februari 2011(Sabtu), Jawatan Kuasa Bimbingan & Kaunseling dan Jawatan Kuasa Disiplin dan Pengawas telah mengadakan Kursus Kepimpinan bertempat di Dewan SK Dusun Tua. Seramai 64 orang pengawas sekolah, 36 orang Pengawas Pusat Sumber, 24 orang Pengawas SPBT dan 16 orang ketua dan penolong ketua kelas (Tahap 2) terlibat.

Kursus kepimpinan ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada peserta untuk menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan berkaliber. Kursus ini merupakan langkah awal untuk merangsang mereka menjadi pemimpin yang berketrampilan dan berdaya saing pada masa hadapan sama ada di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi atau mahupun dalam kelompok masyarakat.

Objektif kursus bertujuan memberikan pengetahuan dan pengalaman kepada ‘pemimpin muda’ tentang ciri-ciri pemimpin/kepimpinan, motivasi diri, pengisian kerohanian serta memupuk keyakinan diri untuk menjadi seorang pemimpin yang berkarisma. Selain itu, dapat memberi peluang kepada mereka untuk membentuk jatidiri serta mempunyai sikap dan pemikiran positif dalam melaksanakan tugas.

Program kursus kepimpinan dimulai dengan bacaan doa oleh Tn. Hj. Nor Azmri bin Ishak. Pn. Sapiah binti Daud bertindak sebagai pengacara majlis. Pn. Hjh. Masirah binti Rahmad, Guru Besar SK Dusun Tua, telah berkenan merasmikan majlis. Dalam ucapannya, beliau merakamkan sekalung tahniah kepada semua pengawas dan ketua kelas serta penolong kelas yang telah dilantik. Tambah beliau lagi, semua yang dilantik ini hendaklah telus menjalankan tugas dan sentiasa bertanggungjawab, tegas, serta bekerjasama di antara satu sama yang lain.

Sebelum kursus bermula, peserta telah diberi taklimat ringkas oleh penyelaras unit masing-masing. Bagi JK Pengawas, taklimat telah disampaikan oleh En. Mohd Najib bin Zainal Abidin. Manakala, Pusat Sumber oleh Pn. Sapiah binti Daud dan JK SPBT , Pn. Hjh. Sanihah binti Sulaiman.

Sesi ceramah pertama telah disampaikan oleh Pn. Hjh. Kasmani binti Salleh@Yong. Tajuk ceramah beliau ialah ‘Ciri-Ciri Pemimpin’. Para peserta didedahkan dengan ciri-ciri kepimpinan berkualiti yang perlu diserapkan ketika menjalankan tugas. Untuk slot ceramah kedua, disampaikan pula oleh En. Mohd Ismadi bin Damsuki dengan tajuk ‘Pemimpin Masa Hadapan’.

Bagi aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) pula, para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil mengikut unit masing-masing. Dalam sesi selama satu jam ini, para peserta dikehendaki berbincang dalam kumpulan mengenai peranan dan bidang tugas mereka dalam unit masing-masing. Di akhir sesi ini, beberapa kumpulan telah dipilih bagi membentangkan hasil kumpulan mereka.

Beberapa kelemahan telah dikesan dalam kursus pada tahun ini. Antaranya, penglibatan peserta tidak 100 % daripada jumlah sepatutnya. Selain itu, tiada pelepasan bagi guru yang terlibat menjalankan tugas sewaktu kursus berikutan kekurangan guru pada hari sekolah berganti itu

Walau bagaimanapun, para peserta telah memberi sepenuh perhatian dan komitmen sepanjang kursus ini dijalankan. Selain itu, kerjasama antara guru-guru yang terlibat juga amat memuaskan.

Secara keseluruhannya program Kursus Kepimpinan bagi tahun 2011 ini berjalan dengan lancar dan baik. Semua pihak yang terlibat terutamanya ahli jawatan kuasa telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi bagi menjayakan program ini. Diharap agar kursus ini dapat dijalankan dua kali dalam setahun, pada masa akan datang untuk memberikan input yang lebih kepada para ‘pemimpin muda’ ini.
-Laporan Oleh: Pn. Nurul Suhada Mohd. Nor , Guru Pengawas SK Dusun Tua.

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..