Rabu, 10 Oktober 2012

AKTIVITI SKDT PADA BULAN JULAI 2012

Bersempena dengan kehadiran Bulan Kemerdekaan, pihak sekolah telah menjemput seorang aktivis masyarakat untuk menyampaikan ceramah kepada  warga SKDT. Ustaz Adinin bin Ngadikun, Pengerusi JKKKP Kg Jawa, Batu 18, telah sudi meluangkan masa untuk menyemai semangat cintakan tanahair serta membangkitkan semangat patriotisme di kalangan warga SKDT, khususnya kepada para pelajar. Ternyata pengalaman beliau amat berguna untuk direnung dan dihayati tentang sejarah kemerdekaan negara kita.

AKTIVITI SKDT PADA BULAN JUN 2012

KURSUS DALAM PERKHIDMATAN (LADAP)
Kursus telah diadakan pada 28 Jun lalu, bertempat di Dewan SK Dusun Tua. En. Abdullah Saat b Abdul Karim, Pegawai Pengurusan Kualiti PPD Hulu Langat, telah membimbing para peserta  dengan tajuk 'Pengurusan Sekolah Berkualiti'.Guru-guru dari sekolah berdekatan, iaitu SK Lubuk Kelubi dan SK Sg Lui, turut menyertai kursus tersebut.



SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ PERINGKAT SEKOLAH
Sambutan kali ini dilaksanakan pada 27 Jun dengan menjemput penceramah daripada program Imam Muda, iaitu Imam Amirul bin Mat Banin (Top 5 Imam Muda 2010). Beliau telah menyampaikan ceramah berkaitan peristiwa israk dan mikraj yang berjaya menarik perhatian para hadirin.

Selasa, 18 September 2012

PROGRAM SUSU 1 MALAYSIA (PS1M)

Alhamdulillah, SK Dusun Tua tersenarai sebagai penerima Program Susu 1 Malaysia, sesuai dengan kedudukannya selaku sekolah luar bandar. Kesemua murid Tahun 1 hingga Tahun 6, menikmati pemberian susu percuma sebanyak 2 kotak seminggu. 
Penyelaras PS1M, Pn. Intan Zahrani Ishak bertindak mengagihkan susu kepada murid-murid dengan dibantu Skuad Susu Sekolah, pada tiap hari Selasa dan Khamis, mengikut minggu penghantaran susu oleh pihak pengedar.
Semoga anak-anak SKDT sentiasa bersyukur dengan bantuan yang diterima..

PROGRAM IKHTIAR HIDUP TKRS

·         Aktiviti bermula seawal jam 2.30 petang
·         Dimulakan dengan taklimat oleh En Mohd Ismadi berkenaan tatacara penyediaan makanan yang akan dilakukan iaitu Masakan Maggie dan Masak Telur dalam Lumpur.
·         Setelah murid dibahagikan kepada 10 kumpulan, mereka mengambil bahan dan juga mula menyediakan unggun api untuk memasak.
·         Dengan bantuan guru dan juga kerjasama semua pasukan maka nyalaan api dan masakan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
·         Semua guru penasihat menjalankan tugasan mereka dengan membantu kadet dengan baik.
·         Aktiviti selesai jam 4 petang dengan kadet  menikmati juadah  yang telah disediakan.
·         Kadet mengemas kawasan dan semua aktiviti tamat sekitar jam 4.30 petang.

~Laporan oleh En. Mohd Ismadi Damsuki, Ketua TKRS SK Dusun Tua


Rabu, 13 Jun 2012

MINGGU PANITIA SAINS & PELANCARAN NILAM SEDAERAH

Minggu Panitia Sains telah diadakan pada 23 hingga 27 April 2012. Pelancaran Program NILAM Sedaerah turut diadakan pada minggu tersebut. Berbagai-bagai acara telah diadakan sepanjang minggu berkenaan.

*Foto & video dirakam oleh En. Mohd Ismadi Damsuki, Ketua Panitia Sains SKDT

Khamis, 12 April 2012

MINGGU PANITIA PENDIDIKAN ISLAM

Setiap tahun semua panitia di sekolah menjalankan aktiviti untuk murid-murid mereka. Tidak ketinggalan juga, Panitia Pendidikan Islam SK Dusun Tua telah merancang aktiviti yang boleh menarik minat murid kearah mencapai objektif yang bersesuaian dengan murid kita.

Antara objektifnya adalah ;

Melahirkan murid-murid yang berketrampilan dalam bidang Pendidikan Islam ;

Menjadikan Pendidikan Islam sebagai wadah ilmu dengan mengamalkan doa harian ;

Memupuk minat agar mencintai agama Islam, serta menjadikan murid-murid celik Jawi melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.

Antara pengisian aktiviti yang dirancang oleh panitia Pendidikan Islam adalah seperti berikut ;

Tahun 1 – menulis huruf jawi dan menyambung huruf jawi

Tahun 2 – menjawikan satu suku kata dan 3 suku kata

Tahun 3 – menghafaz 10 doa harian

Tahun 4 – menghafaz asma’ul husna dan kuiz

Tahun 5 – membaca jawi lancar dan kuiz

Tahun 6 – pertandingan menulis khat dan kuiz

Selepas semua aktiviti berjalan, murid-murid yang berjaya telah diberi hadiah serta ganjaran kepada para pemenang. Semua guru Panitia Pendidikan Islam mengucapkan syabas dan tahniah kepada murid-murid yang memberi komitmen terbaik kearah memartabatkan murid Islam cerdik jawi, al-Quran dan fardhu ‘ain.

- Laporan oleh ; Pn. Salina Khalid, Ketua Panitia Pendidikan Islam

Sabtu, 7 April 2012

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT SEKOLAH

Sambutan hari kebesaran Islam merupakan salah satu acara tahunan yang mesti ada dalam kalendar Panitia Pendidikan Islam. Ini bertujuan memperingati peristiwa penting dalam sejarah Islam.

Seiring dengan perkembangan negara yang semakin maju, mengakibatkan anak-anak terdedah dengan aktiviti dan gejala sosial yang semakin jauh dari landasan agama Islam. Program in dijalankan bagi menarik minat murid SKDT untuk mendalami ilmu agama agar dapat memberi satu impak yang besar dalam diri murid itu sendiri.

Oleh itu, pada 17 Februari lalu, Panitia Pendidikan Islam telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah dengan tema ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’. Antara pengisian aktiviti murid berkumpul di dataran perhimpunan, guru kelas mengambil kedatangan murid disusuli dengan bacaan Yaasiin serta ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Ustaz Amran Mansor. Kemudian, murid-murid berarak mengelilingi padang sekolah sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw.

Pada jam 9.00 – 10.00 pagi, murid prasekolah mengikuti pertandingan mewarna, manakala murid Tahun 1 – 3 menjawab soalan kuiz mengenai kelahiran Rasulullah saw. Murid-murid tahap 2 pula terlibat dalam pertandingan nasyid di Dewan SKDT. Selepas waktu rehat, murid-murid mengikuti sesi pembelajaran seperti biasa mengikut jadual waktu. Semua pemenang dalam acara berkenaan diberi hadiah oleh pihak penganjur.

- Laporan oleh: Pn. Salina Khalid, Ketua Panitia Pendidikan Islam SKDT

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..