Selasa, 27 Oktober 2009

MAJLIS HARI LAHIR PRASEKOLAH

Seramai 17 orang murid PraIntan, telah diraikan dalam satu majlis sambutan hari lahir bagi bulan Julai-Disember.

Guru Kelas PraIntan, Pn. Azura Farina Abdullah berkata, majlis diadakan dua kali setahun, iaitu bagi murid yang lahir pada Januari-Jun, dan Julai-Disember.

Pada majlis jamuan ini, Cik Fadzilahanum Roslan (Pembantu Pengurusan Murid) dan Pn. Suhaila Yusof (AJK Pewaris) bertindak menyediakan juadah, selain makanan yang disumbangkan oleh ibu bapa penjaga murid.

Meskipun majlis diadakan secara sederhana, namun bagi anak-anak prasekolah ini, ianya amat bermakna bagi mereka kerana diri mereka terasa dihargai.

Semoga Allah memanjangkan usia mereka dengan rahmat keberkatan-Nya, dimurahkan rezeki serta berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Amiin...

Isnin, 26 Oktober 2009

MAJLIS SAMBUTAN LEBARAN - PERINGKAT SEKOLAH

Majlis yang saban tahun ini diadakan bertujuan merapatkan hubungan 'kekeluargaan' warga SK Dusun Tua - guru-staf-murid.

Bertempat di dataran perhimpunan, dua buah canopy disediakan untuk ruang mengumpul makanan- yang sepenuhnya dibawa oleh murid-murid serta staf akademik dan sokongan sekolah.

Setiap aliran diagihkan jenis makanan yang perlu dibawa agar menu yang disajikan itu pelbagai dan rencam.

Suasana perayaan lebih dirasai apabila setiap warga sekolah digalakkan memakai pakaian raya. Lagu hari raya yang dimainkan juga menjadikan suasana sambutan begitu meriah.

Semoga majlis sambutan perayaan ini berjaya mencapai objektifnya iaitu merapatkan ukhuwah sesama warga sekolah.

Rabu, 21 Oktober 2009

RIMUP KELOMPOK 5 – FUTSAL

Pada tahun ini, aktiviti futsal mengisi program RIMUP Kelompok 5. Sekolah yang terlibat adalah SK Lubok Kelubi sebagai tuan rumah, SK Dusun Tua, SK Kuala Pomsoon dan SJKC Choon Hwa Batu 18.

Acara dibahagikan kepada kategori lelaki dan perempuan. Setiap pasukan mengandungi 5 orang pemain utama dan 2 orang pemain simpanan. Kejohanan berlangsung pada 6 Oktober lalu bertempat di padang SK Lubok Kelubi.

Pasukan SK Dusun Tua telah dilatih oleh En. Ibraheem Zulkiflee, manakala Cik Nor Hafizah pula bertindak sebagai jurulatih skuad perempuan.

Berikut adalah keputusan yang dicapai oleh pasukan SK Dusun Tua ;

Pasukan Lelaki :-

SK Dusun Tua ( 7 ) lwn SJKC Choon Hwa Batu 1 ( 0 )

SK Dusun Tua ( 2 ) lwn SK Kuala Pomsoon ( 0 )

SK Dusun Tua ( 1 ) lwn SK Lubok Kelubi ( 1 )

Pasukan Perempuan :-

SK Dusun Tua ( 2 ) lwn SK Kuala Pomsoon ( 0 )

SK Dusun Tua ( 3 ) lwn SJKC Choon Hwa Batu 18 ( 0 )

SK Dusun Tua ( 0 ) lwn SK Lubok Kelubi ( 1 )


Kedua-dua pasukan sekolah kita telah muncul sebagai Naib Johan, di belakang pasukan SK Lubok Kelubi. Pasukan Lelaki SK Dusun Tua kekurangan jaringan menyebabkan kita sekadar berpuashati di tempat kedua, walaupun mempunyai mata yang sama dengan pasukan SK Lubok Kelubi.

Apapun, SYABAS dan TAHNIAH kepada pasukan sekolah kita atas pencapaian ini meskipun agak baru dengan permainan futsal. Semoga terus berjaya pada masa hadapan.

MENZIARAHI adik MUHAMMAD IKHSAN BIN ABDUL KARIM



Warga SK Dusun Tua turut bersimpati dengan nasib yang dialami oleh seorang murid sekolah kita, iaitu adik Muhammad Ikhsan bin Abdul Karim (Tahun 5 Mulia), atas kemalangan yang menimpanya bersama ibu dan bapanya.

Dalam kejadian pagi 30 Ogos lalu, kereta Kancil yang dipandu bapanya telah dilanggar oleh sebuah trailer yang terbabas berdekatan Pintu Gerbang Kota Darul Ehsan di Lebuhraya Persekutuan. Mereka dalam perjalanan untuk membeli pakaian hari raya yang bakal menjelang.

Bapa Muhammad Ikhsan, telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dia serta ibunya mengalami kecederaan parah. Mereka telah mendapat rawatan selama beberapa minggu di Hospital Universiti.

Warga kerja SK Dusun Tua telah berpeluang menziarahi mangsa setelah dia pulang ke rumah mereka di Kampung Darul Hidayah, Dusun Tua, serta menyampaikan derma kilat daripada warga sekolah.

Kepada keluarga adik Muhammad Ikhsan Abdul Karim, warga sekolah berharap agar dia bersabar dengan suratan takdir, serta didoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh arwah bapanya.

Al-Fatihah!

*Catatan PK HEM – Tulisan ini lewat dimasukkan kerana terdapat masalah teknikal.

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..