Rabu, 26 Mei 2010

MINGGU PANITIA MATAPELAJARAN - BAHASA MELAYU & MATEMATIK

Minggu Panitia Bahasa Melayu telah dijalankan pada 5 hingga 9 April 2010 di Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Program telah dirasmikan oleh Guru Besar iaitu Pn. Hjh. Masirah bt. Rahmad. Sementara Ketua Panitia Bahasa Melayu, Pn. Intan Zahrani bt. Ishak telah menerangkan berkaitan aktiviti yang akan dijalankan sepanjang minggu tersebut.

Minggu Panitia Bahasa Melayu telah dirancang untuk memberi peluang kepada murid-murid mengembang dan menonjolkan bakat masing-masing, di samping membantu murid mengukuhkan asas bahasa dan kemahiran dengan baik. Objektif Minggu Panitia Bahasa Melayu diadakan bertujuan mengukuhkan penguasaan 3M (mengeja, membaca dan menulis) di kalangan murid. Selain itu, minggu panitia ini bertujuan untuk menerapkan nilai murni kepada murid-murid supaya menghargai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bersesuaian dengan Prinsip Rukun Negara. Di samping itu, murid juga dapat memantapkan lagi Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi harian serta membantu meningkatkan kualiti dan kuantiti pencapaian dalam peperiksaan.

Oleh itu, Minggu Panitia Bahasa Melayu ini telah melibatkan semua murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Di antara aktiviti yang dijalankan untuk murid Tahun 1 hingga Tahun 3 ialah Pertandingan Tulisan Cantik, Pertandingan Mahir Menulis (Tahun 1 dan Tahun 2), Tajam Minda (Tahun 3) dan Bercerita. Sementara aktiviti bagi Tahun 4 ialah Simpulan Bahasa, Melengkapkan Pantun dan Mengarang Esei. Tahun 5 pula telah menjalankan aktiviti melafazkan syair atau mendeklamasikan sajak dan Boneka Bahasa . Manakala Tahun 6 pula telah menjalankan aktiviti kuiz dan teka silangkata.

Semua aktiviti dapat dijalankan dengan lancar Kedudukan pemenang bagi setiap aktiviti yang dijalankan adalah melibatkan tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap kelas kecuali bagi pertandingan melafazkan syair atau mendeklamasikan sajak yang melibatkan kedudukan tempat pertama hingga tempat keenam. (Laporan oleh Pn. Ruhainun Ismail)

Panitia Matematik SK Dusun Tua telah menganjurkan Minggu Panitia Matematik bermula 12 hingga 16 April 2010, bertujuan meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid dalam matapelajaran Matematik, di samping mewujudkan keseronokan ketika mempelajari matapelajaran ini.

Kesan daripada aktiviti yang telah dijalankan, didapati beberapa objektif berjaya dicapai. Antaranya aktiviti mewarna dan mereka Buku Skrap bagi Tahap 1, serta Kuiz/Puzzle bagi Tahap 2. Murid-murid dapat berkongsi idea untuk menghasilkan Buku Skrap yang cantik dan bersaing untuk membuat yang paling baik. Bagi kuiz untuk Tahun 3 dan 4 pula, murid-murid berasa seronok apabila mendapat jawapan yang betul setelah berfikir serta berusaha mencari jawapan.

Aktiviti Bijak Sifir untuk Tahap 2, murid-murid menunjukkan sikap bersaing untuk menjadi murid terpantas menjawab soalan di samping memastikan semua soalan terjawab dengan betul. Aktiviti Bijak Sifir merupakan aktiviti sepanjang tahun, di mana murid-murid perlu menghafal sifir setiap hari pada perhimpunan pagi.

Melalui aktiviti yang dijalankan, murid-murid dapat menanam sikap bersungguh-sungguh dan sentiasa berusaha ke arah pencapaian yang membanggakan. Setiap murid yang berjaya mendapat markah tertinggi diberi penghargaan dan ganjaran berbentuk hadiah tempat pertama, kedua, ketiga dan saguhati.

Semoga Minggu Panitia Matematik ini dapat menyemai dan menggalakkan minat murid terhadap matapelajaran Matematik, serta berusaha gigih bagi menguasainya.

(Laporan oleh Pn. Cik Zuhal Aleas)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..