Rabu, 26 Mei 2010

MINGGU PANITIA MATAPELAJARAN - BAHASA MELAYU & MATEMATIK

Minggu Panitia Bahasa Melayu telah dijalankan pada 5 hingga 9 April 2010 di Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Program telah dirasmikan oleh Guru Besar iaitu Pn. Hjh. Masirah bt. Rahmad. Sementara Ketua Panitia Bahasa Melayu, Pn. Intan Zahrani bt. Ishak telah menerangkan berkaitan aktiviti yang akan dijalankan sepanjang minggu tersebut.

Minggu Panitia Bahasa Melayu telah dirancang untuk memberi peluang kepada murid-murid mengembang dan menonjolkan bakat masing-masing, di samping membantu murid mengukuhkan asas bahasa dan kemahiran dengan baik. Objektif Minggu Panitia Bahasa Melayu diadakan bertujuan mengukuhkan penguasaan 3M (mengeja, membaca dan menulis) di kalangan murid. Selain itu, minggu panitia ini bertujuan untuk menerapkan nilai murni kepada murid-murid supaya menghargai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bersesuaian dengan Prinsip Rukun Negara. Di samping itu, murid juga dapat memantapkan lagi Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi harian serta membantu meningkatkan kualiti dan kuantiti pencapaian dalam peperiksaan.

Oleh itu, Minggu Panitia Bahasa Melayu ini telah melibatkan semua murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Di antara aktiviti yang dijalankan untuk murid Tahun 1 hingga Tahun 3 ialah Pertandingan Tulisan Cantik, Pertandingan Mahir Menulis (Tahun 1 dan Tahun 2), Tajam Minda (Tahun 3) dan Bercerita. Sementara aktiviti bagi Tahun 4 ialah Simpulan Bahasa, Melengkapkan Pantun dan Mengarang Esei. Tahun 5 pula telah menjalankan aktiviti melafazkan syair atau mendeklamasikan sajak dan Boneka Bahasa . Manakala Tahun 6 pula telah menjalankan aktiviti kuiz dan teka silangkata.

Semua aktiviti dapat dijalankan dengan lancar Kedudukan pemenang bagi setiap aktiviti yang dijalankan adalah melibatkan tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap kelas kecuali bagi pertandingan melafazkan syair atau mendeklamasikan sajak yang melibatkan kedudukan tempat pertama hingga tempat keenam. (Laporan oleh Pn. Ruhainun Ismail)

Panitia Matematik SK Dusun Tua telah menganjurkan Minggu Panitia Matematik bermula 12 hingga 16 April 2010, bertujuan meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid dalam matapelajaran Matematik, di samping mewujudkan keseronokan ketika mempelajari matapelajaran ini.

Kesan daripada aktiviti yang telah dijalankan, didapati beberapa objektif berjaya dicapai. Antaranya aktiviti mewarna dan mereka Buku Skrap bagi Tahap 1, serta Kuiz/Puzzle bagi Tahap 2. Murid-murid dapat berkongsi idea untuk menghasilkan Buku Skrap yang cantik dan bersaing untuk membuat yang paling baik. Bagi kuiz untuk Tahun 3 dan 4 pula, murid-murid berasa seronok apabila mendapat jawapan yang betul setelah berfikir serta berusaha mencari jawapan.

Aktiviti Bijak Sifir untuk Tahap 2, murid-murid menunjukkan sikap bersaing untuk menjadi murid terpantas menjawab soalan di samping memastikan semua soalan terjawab dengan betul. Aktiviti Bijak Sifir merupakan aktiviti sepanjang tahun, di mana murid-murid perlu menghafal sifir setiap hari pada perhimpunan pagi.

Melalui aktiviti yang dijalankan, murid-murid dapat menanam sikap bersungguh-sungguh dan sentiasa berusaha ke arah pencapaian yang membanggakan. Setiap murid yang berjaya mendapat markah tertinggi diberi penghargaan dan ganjaran berbentuk hadiah tempat pertama, kedua, ketiga dan saguhati.

Semoga Minggu Panitia Matematik ini dapat menyemai dan menggalakkan minat murid terhadap matapelajaran Matematik, serta berusaha gigih bagi menguasainya.

(Laporan oleh Pn. Cik Zuhal Aleas)

Isnin, 3 Mei 2010

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL (Peringkat Sekolah)

Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah dikendalikan Panitia Pendidikan Islam setiap tahun, diadakan dalam keadaan sederhana bersesuaian dengan syariat Islam bagi memperingati sirah junjungan besar Nabi Muhammad saw.

Majlis dimulakan dengan perarakan di tapak perhimpunan, dipimpini Ustaz Norazamri Ishak. Aturcara seterusnya berlangsung di dewan SKDT, dipengerusikan oleh Pn. Nor Asmida Ahmad, dengan aktiviti hafazan oleh adik Muhd. Safwan Afiq b. Muhd. Sofian (6 Murni) di bawah pimpinan Ustazah Siti Aminah Husain. Persembahan berikutnya acara bercerita disampaikan adik Raihan Farhana bt. Basri (5 Murni) di bawah pimpinan Ustazah Noraimah Mat Zin.

Acara kemuncak majlis sambutan diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd. Hadi b. Ghazali (Universiti al-Azhar, Mesir). Turut diadakan adalah acara kuiz bagi menguji kefahaman murid-murid terhadap ceramah yang telah disampaikan. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz, dan berakhir pada jam 12.05 tghri.

- Laporan aktiviti oleh Pn. Siti Aminah Husain

Khamis, 15 April 2010

BEBERAPA PROGRAM SKDT YANG TELAH DIJALANKAN..

*Majlis Penyampaian Cek RM1,000 atas kemenangan penyertaan terbanyak bagi Pertandingan English Vocab (Kelab TaHa/NSTP). Terima kasih kepada pihak Tabung Haji dan NSTP.
*Pembukaan Kaunter Tabung Haji untuk warga SK Dusun Tua. Ibu bapa penjaga dan murid-murid SKDT boleh membuka akaun, menambah simpanan dan sebagainya. Terima kasih kepada pihak Tabung Haji daerah Hulu Langat atas perkhidmatan yang diberikan.
*Majlis Pentauliahan Unit Beruniform kepada guru-guru SK Dusun Tua. Majlis disempurnakan oleh Pn.Hjh. Masirah Rahmad, Guru Besar SKDT disaksikan oleh warga sekolah. Serentak itu juga, pada setiap Rabu, guru-guru dikehendaki memakai pakaian unit beruniform masing-masing.
*Hari Anugerah Kecemerlangan 2009 yang diadakan selepas Mesyuarat Agung PIBG sekolah. Turut mendapat penghargaan adalah bekas murid SKDT yang mencapai kejayaan cemerlang dalam UPSR 2009.

*Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-35, diadakan dalam suasana harmoni antara warga sekolah dengan ibu bapa penjaga murid. Sesi pemilihan juga diadakan bagi pelantikan AJK baru.

Ahad, 28 Februari 2010

Kejohanan 'ROAD RUN' SK DUSUN TUA 2010

Kejohanan 'Road Run' diadakan pada 20 Januari lalu. Murid-murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) terlibat dalam acara larian, manakala murid-murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) pula mengikuti Pertandingan Melukis dan Mewarna.
Kemeriahan di dalam dewan tempat pertandingan melukis dan mewarna bagi Tahap 1 dapat dilihat dalam foto di bawah.
Para petugas, marsyal dan semua guru serta beberapa orang AJK PIBG telah menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh komitmen.

Keselamatan peserta larian juga amat dititikberatkan. Alhamdulillah, tiada sebarang kejadian buruk yang berlaku.

YDP PIBG , En. Ahmad Kamal Dahlan berkenan menyampaikan ucapan perasmian penutup kejohanan. Hadiah-hadiah kepada pemenang pula disampaikan oleh Guru Besar SKDT, Pn. Hjh. Masirah Rahmad dan GPK HEM, En. Adlan Mohd. Ali.

Semoga kejohanan ini dapat melahirkan atlet olahraga yang berbakat untuk negeri mahupun negara.






Rabu, 10 Februari 2010

HARI KONFERENSI IBU BAPA PENJAGA MURID TAHUN 6 2010

Bertempat di Dewan SK Dusun Tua, pada 16 Januari lalu, telah diadakan program perjumpaan antara ibu bapa penjaga murid Tahun 6 sesi 2010, dengan pihak pentadbir serta guru-guru akademik yang mengajar di Tahun 6.

Program yang diatur antara lain bermatlamatkan perbincangan dua hala untuk mempertingkatkan prestasi anak-anak dalam menghadapi UPSR 2010. Selain itu, turut diadakan ceramah keibubapaan yang disampaikan oleh Tn. Samsudin bin Mohamed, Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Kaunseling, JPA, Putrajaya.

Tn. Samsudin telah memberikan tips berkaitan mendidik anak-anak ke arah mencapai kecemerlangan. Panduan yang diberikan beliau amat berguna buat ibu bapa memanfaatkannya kepada anak masing-masing. Beliau turut melibatkan beberapa orang murid dalam aktiviti kecerdasan minda.

Selepas rehat, hadirin didedahkan dengan analisa pencapaian murid Tahun 5 dalam PKSR akhir tahun 2009, sebagai perbandingan jangkaan prestasi bagi murid Tahun 6 2010. Pn. Hjh. Kasmani Salleh (GPK Kurikulum) telah membentangkan program yang telah dirancang bagiJustify Fullmeningkatkan pencapaian UPSR 2010. Ibu bapa penjaga murid turut berpeluang bersoal jawab serta memberikan cadangan yang perlu, dalam suasana harmoni.


Semoga pihak ibu bapa murid terus menyumbang idea, sokongan moral dan material dalam memajukan anak didik SKDT.

Isnin, 25 Januari 2010

SELAMAT MENEMPUH SESI PERSEKOLAHAN 2010

Bagi pihak SK Dusun Tua, Unit Hal Ehwal Murid mengucapkan "Selamat Menempuh Sesi Persekolahan 2010" kepada semua murid, guru dan staff SKDT. Mohon maaf kerana blog lewat dikemaskini, disebabkan kelewatan memperoleh gambar-gambar aktiviti sejak sekolah dibuka 2 Januari lalu.

Begitupun, sesi pendaftaran murid Prasekolah dan Tahun 1 (2010) yang dibuat pada 2 Januari lalu, dipaparkan di bawah..

PENDAFTARAN DAN TAKLIMAT HAL EHWAL MURID

* Taklimat kepada ibu bapa penjaga murid tahun 1 telah disampaikan oleh GPK HEM, En. Adlan Mohd. Ali. Beliau menyentuh tentang tindakan yang perlu ibu bapa ambil terhadap dokumen penting anak-anak, selain tentang peraturan sekolah dan sebagainya. Beliau turut memperkenalkan Guru Penyelaras dan guru-guru kelas Tahun 1 2010.

* Murid-murid Tahun 1 menjalani ujian penyaringan bagi menempatkan murid di kelas mengikut aras kebolehan masing-masing.

PENDAFTARAN PRASEKOLAH

* Manakala di bilik Pra Intan, ibu bapa penjaga terlibat dengan sesi pendaftaran dan taklimat murid prasekolah. Pn. Masirah Rahmad, Guru Besar SK Dusun Tua telah terlibat dalam menyampaikan taklimat, di samping turut mengendalikan mesyuarat Ahli Pewaris. Guru prasekolah pula ialah En. Ibraheem Zulkiflee (PraPermata) dan Pn. Azura Farina Abdullah (PraIntan)

Isnin, 7 Disember 2009

TAHNIAH BUAT DUA “AD”


Keputusan UPSR 2009 telah diumumkan. Seramai dua orang murid kita telah mencapai keputusan cemerlang dengan mendapat 5A. Mereka ialah Nor Adila Abdul Malek dan Nor Addina Sofeya Abd. Rahim dari kelas 6 Murni.

Manakala 10 orang mendapat 4A dan 1B, serta 2 orang mencapai 4A dan 1C.

Warga SKDT mengucapkan ‘SYABAS & TAHNIAH’ buat mereka.

Semoga pencapaian mereka berpanjangan hingga ke menara gading suatu hari nanti.

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..