Khamis, 7 April 2011

KURSUS KEPIMPINAN PENGAWAS 2011

Pada 19hb Februari 2011(Sabtu), Jawatan Kuasa Bimbingan & Kaunseling dan Jawatan Kuasa Disiplin dan Pengawas telah mengadakan Kursus Kepimpinan bertempat di Dewan SK Dusun Tua. Seramai 64 orang pengawas sekolah, 36 orang Pengawas Pusat Sumber, 24 orang Pengawas SPBT dan 16 orang ketua dan penolong ketua kelas (Tahap 2) terlibat.

Kursus kepimpinan ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada peserta untuk menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan berkaliber. Kursus ini merupakan langkah awal untuk merangsang mereka menjadi pemimpin yang berketrampilan dan berdaya saing pada masa hadapan sama ada di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi atau mahupun dalam kelompok masyarakat.

Objektif kursus bertujuan memberikan pengetahuan dan pengalaman kepada ‘pemimpin muda’ tentang ciri-ciri pemimpin/kepimpinan, motivasi diri, pengisian kerohanian serta memupuk keyakinan diri untuk menjadi seorang pemimpin yang berkarisma. Selain itu, dapat memberi peluang kepada mereka untuk membentuk jatidiri serta mempunyai sikap dan pemikiran positif dalam melaksanakan tugas.

Program kursus kepimpinan dimulai dengan bacaan doa oleh Tn. Hj. Nor Azmri bin Ishak. Pn. Sapiah binti Daud bertindak sebagai pengacara majlis. Pn. Hjh. Masirah binti Rahmad, Guru Besar SK Dusun Tua, telah berkenan merasmikan majlis. Dalam ucapannya, beliau merakamkan sekalung tahniah kepada semua pengawas dan ketua kelas serta penolong kelas yang telah dilantik. Tambah beliau lagi, semua yang dilantik ini hendaklah telus menjalankan tugas dan sentiasa bertanggungjawab, tegas, serta bekerjasama di antara satu sama yang lain.

Sebelum kursus bermula, peserta telah diberi taklimat ringkas oleh penyelaras unit masing-masing. Bagi JK Pengawas, taklimat telah disampaikan oleh En. Mohd Najib bin Zainal Abidin. Manakala, Pusat Sumber oleh Pn. Sapiah binti Daud dan JK SPBT , Pn. Hjh. Sanihah binti Sulaiman.

Sesi ceramah pertama telah disampaikan oleh Pn. Hjh. Kasmani binti Salleh@Yong. Tajuk ceramah beliau ialah ‘Ciri-Ciri Pemimpin’. Para peserta didedahkan dengan ciri-ciri kepimpinan berkualiti yang perlu diserapkan ketika menjalankan tugas. Untuk slot ceramah kedua, disampaikan pula oleh En. Mohd Ismadi bin Damsuki dengan tajuk ‘Pemimpin Masa Hadapan’.

Bagi aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) pula, para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil mengikut unit masing-masing. Dalam sesi selama satu jam ini, para peserta dikehendaki berbincang dalam kumpulan mengenai peranan dan bidang tugas mereka dalam unit masing-masing. Di akhir sesi ini, beberapa kumpulan telah dipilih bagi membentangkan hasil kumpulan mereka.

Beberapa kelemahan telah dikesan dalam kursus pada tahun ini. Antaranya, penglibatan peserta tidak 100 % daripada jumlah sepatutnya. Selain itu, tiada pelepasan bagi guru yang terlibat menjalankan tugas sewaktu kursus berikutan kekurangan guru pada hari sekolah berganti itu

Walau bagaimanapun, para peserta telah memberi sepenuh perhatian dan komitmen sepanjang kursus ini dijalankan. Selain itu, kerjasama antara guru-guru yang terlibat juga amat memuaskan.

Secara keseluruhannya program Kursus Kepimpinan bagi tahun 2011 ini berjalan dengan lancar dan baik. Semua pihak yang terlibat terutamanya ahli jawatan kuasa telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi bagi menjayakan program ini. Diharap agar kursus ini dapat dijalankan dua kali dalam setahun, pada masa akan datang untuk memberikan input yang lebih kepada para ‘pemimpin muda’ ini.
-Laporan Oleh: Pn. Nurul Suhada Mohd. Nor , Guru Pengawas SK Dusun Tua.

Selasa, 22 Mac 2011

AKTIVITI SEKOLAH YANG TELAH DIJALANKAN SEPANJANG JANUARI 2011

Majlis Pentauliahan Guru Penasihat Unit Beruniform bagi guru-guru yang baru berkhidmat di SK Dusun Tua. Mereka ialah Pn. Siti Norani, Pn. Norafizah, En. Mohd. Sukree, Cik Nurizyan dan Pn. Komariah. Majlis telah disempurnakan oleh Pn. Masirah Rahmad, Guru Besar SKDT.
Aktiviti di atas diadakan pada 19 Januari 2011
Pendaftaran murid bagi menyertai Kelab/Persatuan, Unit Beruniform dan Sukan & Permainan bagi kegiatan Kokurikulum 2011, diadakan pada 12 Januari 2011
Hari pendaftaran Tahun 1 sesi persekolahan 2011 telah diadakan pada 31.12.2010. Taklimat telah disampaikan oleh Pn. Masirah Rahmad (Guru Besar),
En. Adlan Mohd. Ali (GPK HEM) dan Pn. Cik Zuhal Aleas (Penyelaras Tahun 1)
Sementara Pendaftaran Prasekolah sesi 2011 pula diadakan pada hari yang sama,
dan dikendalikan oleh En. Ibraheem Zulkiflee (Guru PraPermata) dan
taklimat pengurusan oleh Pn. Kasmani Salleh @ Yong (GPK Pentadbiran)

Khamis, 24 Februari 2011

BLOG 'HEM SKDT' KEMBALI..

Assalamu'alaikum wrt wbt...
Salam perpaduan..
Salam 1 Malaysia..

Terlebih dahulu, mohon maaf kepada saudara pengunjung blog ini. Agak lama admin tidak berkesempatan mengemaskini blog. Ketiadaan gambar aktiviti, antara faktor tiada bahan baru, di samping kekangan masa yang bertimbun sejak awal sesi persekolahan tahun 2011.
Apapun, rasanya masih belum terlewat diucapkan "Selamat Bertemu di Sesi Persekolahan 2011" kepada pengunjung blog ini, dan khususnya buat warga SKDT (guru, staff, murid-murid serta ibu bapa penjaga murid SKDT).
Insya-Allah, admin akan berusaha memaparkan maklumat di blog ini dari masa ke semasa.
Wassalam.

Jumaat, 19 November 2010

TAHNIAH - BUAT YANG BERJAYA DALAM UPSR


ALHAMDULILLAH..
Pada tahun ini, SK Dusun Tua telah mencapai keputusan yang memberangsangkan dalam peperiksaan UPSR.

Seramai 7 orang telah berjaya mendapat 5A. (Pada 2009, hanya 2 orang yang mendapat 5A.)

Mereka yang mendapat 5A ialah ;-
1. AHMAD AFIQ BIN AHMAD KAMAL
2. MOHAMAD AFIQ BIN AZMAN
3. MUHAMAD HAZIQ BIN IBRAHIM
4. MUHAMAD YUSUF BIN PADZILLAH
5. MUHAMMAD FADHIL BIN MD. HOSNI
6. NORMAN HAIKAL BIN OTHMAN
7. NURAIN SYAHRAH BINTI ZAIDI SABRI

Manakala 9 orang murid mendapat 4A + 1B, iaitu :-
1. AMIR QUSYARI BIN SAIFUL BAHRI
2. AMIRUL SYAHID BIN JAILANI
3. MOHAMMAD RAFIQUE AZRAEI BIN MOHD. NARZARI
4. MUHAMMAD ARIF SHAH BIN SHAHEEZAM MAZHAR
5. MUHAMMAD AIMAN BIN CHEMANI @ JUMANI
6. MUHAMMAD ISKANDAR ZULKARNAIN BIN RAFIDY
7. MUHAMMAD SAFWAN AFIQ BIN MOHAMAD SOFIAN
8. MUHAMMAD ZAWAWI BIN MD. DAUD
9. SITI NUR FARISHA BINTI ARIFFIN

SYABAS diucapkan. Semoga beroleh kecemerlangan berterusan, di dunia mahupun di akhirat nanti... Amiin.

Rabu, 26 Mei 2010

MINGGU PANITIA BAHASA INGGERIS & SAINS

Program ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan penguasaan murid dalam matapelajaran Bahasa Inggeris, di samping memberi keyakinan dan peluang kepada mereka untuk menonjolkan bakat di dalam pertandingan-pertandingan yang disertai mereka.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah Spelling, Word Maze dan Reciting Nursery Rhymes yang melibatkan penyertaan murid-murid daripada Tahun 1, 2 dan 3. Manakala bagi murid-murid Tahun 4, 5 dan 6 aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah Word Building , Book Mark dan Spelling Bee.

Sambutan yang diterima daripada murid-murid sepanjang Minggu Panitia Bahasa Inggeris berlangsung amatlah menggalakkan. Setiap aktiviti telah dapat dijalankan dengan jayanya dan berjalan lancar seperti yang dirancangkan. (Laporan oleh Pn. Murni Sujangi)

Minggu Panitia Sains telah dijalankan pada 26 hingga 30 April 2010. Minggu Panitia di bawah anjuran Unit Kurikulum dan Pusat Sumber adalah salah satu aktiviti panitia yang menarik minat murid dalam pembelajaran Sains selain daripada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Minggu Panitia Sains telah dirasmi oleh Pn. Hjh Masirah binti Rahmad, Guru Besar SK Dusun Tua. Aktiviti pelancaran dan perasmian telah dijalankan pada waktu perhimpunan rasmi iaitu pagi Isnin. Murid tahun 5 di bawah pimpinan En. Muhd Ismadi Damsuki telah mempersembahkan simulasi yang berkaitan dengan proses pengembangan dan pengecutan bahan.

Sesuai dengan objektif Panitia Sains, beberapa aktiviti dijalankan, antaranya ialah ‘ puzzle’ untuk tahun 1, ‘Science is fun’ untuk tahun 2 dan 3, ‘Science recreation’ untuk tahun 4, “Science glossary” untuk tahun 5 , dan buku skrap untuk tahun 6. Bagi acara kumpulan tahap satu menjalankan aktiviti ‘Word science’ manakala ‘Science fact’ untuk tahap 2.

Kedudukan pemenang bagi setiap aktiviti adalah daripada tempat pertama hingga tempat kelima. Manakala aktiviti kumpulan pula, pemenangnya bermula tempat pertama hingga ketiga. Penglibatan murid di dalam setiap aktiviti amat menggalakkan.

Keseluruhannya aktiviti Panitia Sains telah dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Ini adalah kerana daripada aktiviti ini minda murid telah dapat dicungkil bagi memberi keyakinan kepada mereka untuk mengukuhkan fakta asas sains serta beberapa kemahiran proses sains. Ini dapat dilihat daripada penglibatan murid di dalam aktiviti seperti ‘Science fact’ dan science glossary’ di mana murid berlumba-lumba mencari maklumat fakta sains dan mendapatkan ejaan yang betul.Aktiviti seperti ini talah dapat memberi pengukuhan pembelajaran sains mereka di mana murid lebih mudah mengingat dan memahami.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang aktiviti yang disediakan. Ribuan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa yang terlibat secara langsung atau tidak sepanjang aktiviti dilaksanakan dan sesungguhnya apa yang baik itu datangnya daripada Allah, yang buruk itu datangnya daripada kami. (Laporan oleh Pn. Mazlina Idris)

MINGGU PANITIA MATAPELAJARAN - BAHASA MELAYU & MATEMATIK

Minggu Panitia Bahasa Melayu telah dijalankan pada 5 hingga 9 April 2010 di Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Program telah dirasmikan oleh Guru Besar iaitu Pn. Hjh. Masirah bt. Rahmad. Sementara Ketua Panitia Bahasa Melayu, Pn. Intan Zahrani bt. Ishak telah menerangkan berkaitan aktiviti yang akan dijalankan sepanjang minggu tersebut.

Minggu Panitia Bahasa Melayu telah dirancang untuk memberi peluang kepada murid-murid mengembang dan menonjolkan bakat masing-masing, di samping membantu murid mengukuhkan asas bahasa dan kemahiran dengan baik. Objektif Minggu Panitia Bahasa Melayu diadakan bertujuan mengukuhkan penguasaan 3M (mengeja, membaca dan menulis) di kalangan murid. Selain itu, minggu panitia ini bertujuan untuk menerapkan nilai murni kepada murid-murid supaya menghargai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bersesuaian dengan Prinsip Rukun Negara. Di samping itu, murid juga dapat memantapkan lagi Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi harian serta membantu meningkatkan kualiti dan kuantiti pencapaian dalam peperiksaan.

Oleh itu, Minggu Panitia Bahasa Melayu ini telah melibatkan semua murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Di antara aktiviti yang dijalankan untuk murid Tahun 1 hingga Tahun 3 ialah Pertandingan Tulisan Cantik, Pertandingan Mahir Menulis (Tahun 1 dan Tahun 2), Tajam Minda (Tahun 3) dan Bercerita. Sementara aktiviti bagi Tahun 4 ialah Simpulan Bahasa, Melengkapkan Pantun dan Mengarang Esei. Tahun 5 pula telah menjalankan aktiviti melafazkan syair atau mendeklamasikan sajak dan Boneka Bahasa . Manakala Tahun 6 pula telah menjalankan aktiviti kuiz dan teka silangkata.

Semua aktiviti dapat dijalankan dengan lancar Kedudukan pemenang bagi setiap aktiviti yang dijalankan adalah melibatkan tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap kelas kecuali bagi pertandingan melafazkan syair atau mendeklamasikan sajak yang melibatkan kedudukan tempat pertama hingga tempat keenam. (Laporan oleh Pn. Ruhainun Ismail)

Panitia Matematik SK Dusun Tua telah menganjurkan Minggu Panitia Matematik bermula 12 hingga 16 April 2010, bertujuan meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid dalam matapelajaran Matematik, di samping mewujudkan keseronokan ketika mempelajari matapelajaran ini.

Kesan daripada aktiviti yang telah dijalankan, didapati beberapa objektif berjaya dicapai. Antaranya aktiviti mewarna dan mereka Buku Skrap bagi Tahap 1, serta Kuiz/Puzzle bagi Tahap 2. Murid-murid dapat berkongsi idea untuk menghasilkan Buku Skrap yang cantik dan bersaing untuk membuat yang paling baik. Bagi kuiz untuk Tahun 3 dan 4 pula, murid-murid berasa seronok apabila mendapat jawapan yang betul setelah berfikir serta berusaha mencari jawapan.

Aktiviti Bijak Sifir untuk Tahap 2, murid-murid menunjukkan sikap bersaing untuk menjadi murid terpantas menjawab soalan di samping memastikan semua soalan terjawab dengan betul. Aktiviti Bijak Sifir merupakan aktiviti sepanjang tahun, di mana murid-murid perlu menghafal sifir setiap hari pada perhimpunan pagi.

Melalui aktiviti yang dijalankan, murid-murid dapat menanam sikap bersungguh-sungguh dan sentiasa berusaha ke arah pencapaian yang membanggakan. Setiap murid yang berjaya mendapat markah tertinggi diberi penghargaan dan ganjaran berbentuk hadiah tempat pertama, kedua, ketiga dan saguhati.

Semoga Minggu Panitia Matematik ini dapat menyemai dan menggalakkan minat murid terhadap matapelajaran Matematik, serta berusaha gigih bagi menguasainya.

(Laporan oleh Pn. Cik Zuhal Aleas)

Isnin, 3 Mei 2010

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL (Peringkat Sekolah)

Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah dikendalikan Panitia Pendidikan Islam setiap tahun, diadakan dalam keadaan sederhana bersesuaian dengan syariat Islam bagi memperingati sirah junjungan besar Nabi Muhammad saw.

Majlis dimulakan dengan perarakan di tapak perhimpunan, dipimpini Ustaz Norazamri Ishak. Aturcara seterusnya berlangsung di dewan SKDT, dipengerusikan oleh Pn. Nor Asmida Ahmad, dengan aktiviti hafazan oleh adik Muhd. Safwan Afiq b. Muhd. Sofian (6 Murni) di bawah pimpinan Ustazah Siti Aminah Husain. Persembahan berikutnya acara bercerita disampaikan adik Raihan Farhana bt. Basri (5 Murni) di bawah pimpinan Ustazah Noraimah Mat Zin.

Acara kemuncak majlis sambutan diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd. Hadi b. Ghazali (Universiti al-Azhar, Mesir). Turut diadakan adalah acara kuiz bagi menguji kefahaman murid-murid terhadap ceramah yang telah disampaikan. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz, dan berakhir pada jam 12.05 tghri.

- Laporan aktiviti oleh Pn. Siti Aminah Husain

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..