Selasa, 21 Februari 2012

PROGRAM TRANSISI DAN ORIENTASI TAHUN 1 SESI 2012

Program Transisi dan Orientasi Tahun 1 telah dijalankan selama 2 minggu bermula 3 Januari hingga 13 Januari 2012 di SK Dusun Tua, Hulu Langat. Program tersebut melibatkan semua murid Tahun 1, guru-guru dan staf sekolah. Bermula dengan taklimat kepada ibu bapa mengenai pengurusan pendaftaran murid, perjalanan orientasi, hal ehwal murid serta maklumat penting seperti KSSR, PBS, MBMMBI, LINUS dan sebagainya. Taklimat yang berkaitan telah disampaikan oleh Guru Besar SKDT, Guru Penolong Kanan HEM, dan Penyelaras Program Transisi Tahun 1/2012. Di samping taklimat tersebut, ujian bertulis juga telah dijalankan ke atas murid-murid bagi menentukan kelas yang akan diduduki.
Sepanjang minggu orientasi, berbagai aktiviti telah dirancang berlangsung dengan lancar. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah aktiviti mengenal rakan-rakan sekelas, guru-guru Tahun 1 dan juga mengenal kawasan sekolah untuk menyesuaikan diri murid-murid dengan suasana persekolahan yang baru. Antara lainnya, murid juga telah menyertai aktiviti yang melibatkan matapelajaran yang akan mereka belajar di dalam kelas menggunakan modul KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) melalui aktiviti membaca, menulis, mengira dan mewarna. Murid-murid juga diuji tahap kecerdasan mereka melalui aktiviti sukaneka sebelum mereka mengakhiri Program Transisi dan Orientasi Tahun 1.
Tanggal 16 Januari 2012, satu Majlis Penutupan Program Transisi Tahun 1 telah diadakan secara ringkas pada waktu perhimpunan pagi di mana murid-murid Tahun 1 telah menyanyikan lagu Anak Cemerlang beramai-ramai. Sebagai tanda program tersebut telah tamat dengan jayanya, murid-murid telah diberikan saguhati kerana telah berjaya menjalani program transisi dan orientasi sehingga akhir.
- Laporan oleh Pn. Cik Zuhal Aleas, Penyelaras Program Tahun 1 sesi 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..