Khamis, 11 Oktober 2012

SUMBANGAN KOMPUTER DARIPADA AHLI PARLIMEN

Pihak sekolah telah menerima sumbangan sebuah set komputer, pencetak dan wifi modem, daripada YB Dr Che Rosli Che Mat, Ahli Parlimen Hulu Langat, untuk kegunaan pejabat. Ini akan memudahkan  kerja-kerja pentadbiran memandangkan banyak urusan memerlukan penggunaan secara atas talian. Di samping itu, komputer yang sedia ada juga agak lama selain tidak mempunyai perisian terkini.
YB Dr Che Rosli Che Mat telah hadir bersama pegawai perhubungannya untuk menyerahkan sendiri set komputer tersebut. Beliau menerangkan sumbangan peribadi itu atas khidmat sosial, di samping akan memudahkan pihak sekolah menguruskan hal berkaitan data murid, keperluan maklumat secara 'on-line' dsb kepada warga sekolah dengan lebih baik. Beliau juga berharap, sumbangan itu tidak disalahertikan kerana hasratnya lebih kepada membantu pihak sekolah amnya, dan murid-murid khususnya, terutama dalam mendepani zaman ICT. Warga sekolah mengucapkan 'TERIMA KASIH DAUN KELADI' buat YB Dr Che Rosli Che Mat.

Rabu, 10 Oktober 2012

AKTIVITI SKDT PADA BULAN SEPTEMBER 2012

 MAJLIS KHATAM AL-QURAN DAN SAMBUTAN HARI RAYA PERINGKAT SEKOLAH
Majlis Khatam al-Quran telah diadakan pada 4 September lalu. Kira-kira hampir 30 orang murid mengambil bahagian dengan dipimpin oleh Ustaz Amran Mansor. Di hari yang sama, Sambutan Hari Raya peringkat sekolah turut diadakan. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dan baik.
 Terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama melaksanakan kedua-dua majlis ini dengan jayanya.
Saban tahun, SKDT pasti terpilih sebagai lokasi penggambaran bagi drama TV. Pada 7 September lalu, beberapa babak dalam drama terbitan Astro dibuat berjudul 'Tiara", telah menjalani penggambaran di sini. Kehadiran penyanyi Adira AF dan Alif Aziz (Singapura) telah mencuri perhatian murid-murid sekolah yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan mendapatkan tandatangan mereka. Pada bulan Oktober ini, satu lagi pihak produksi akan membuat penggambaran di SKDT. Difahamkan judulnya "Mat Saintis" yang turut akan ditayangkan di siaran Astro.
KEJOHANAN SUKANTARA & SUKANEKA SK DUSUN TUA 2012
Pada tahun ini, Unit Kokurikulum telah mengadakan Kejohanan Sukantara dan Sukaneka bermula 18 September hingga pada hari kemuncak iaitu 22 September lepas. Sukan yang pada mulanya dijadualkan dibuat secara dalaman dan tertutup ini, pada saat akhir 'dibuka' kepada ibu bapa penjaga murid setelah pihak sekolah mempertimbangkan permintaan daripada pihak ibu bapa murid.
Alhamdulillah, kehadiran ibu bapa amat baik dan mampu memeriahkan lagi acara ssukan yang dijalankan.
Pada kejohanan kali ini, Rumah Merah muncul Juara, diikuti rumah Hijau selaku Naib Johan, Biru ketiga dan Kuning di tempat terakhir. Syabas buat Rumah Merah!
Acara penyampaian hadiah kepada para pemenang pada hari sukan 'disambung' pada hari Isnin berikutnya disebabkan kesuntukan masa pada hari kejohanan.

AKTIVITI SKDT PADA BULAN OGOS 2012

Seperti biasa, setiap kali menjelang perayaan Hari Raya 'Aidil Fitri, nasib anak-anak SKDT yang tidak berkemampuan, miskin dan anak yatim/piatu, tidak diabaikan.
Sejumlah 62 orang pelajar miskin dan 20 orang anak yatim (seorang yatim piatu) telah menerima sumbangan 'duit raya' yang disampaikan pada hari terakhir persekolahan sebelum bercuti raya.
Pihak sekolah ingin merakamkan ucapan 'TERIMA KASIH DAUN KELADI" kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan wang ringgit untuk anak-anak berkenaan. Semoga Allah membalas segala jasa bakti yang telah kalian hulurkan.Ampun dan maaf kami pohonkan atas segala kekurangan dan kekhilafan yang berlaku sama ada disedari atau tidak.

AKTIVITI SKDT PADA BULAN JULAI 2012

Bersempena dengan kehadiran Bulan Kemerdekaan, pihak sekolah telah menjemput seorang aktivis masyarakat untuk menyampaikan ceramah kepada  warga SKDT. Ustaz Adinin bin Ngadikun, Pengerusi JKKKP Kg Jawa, Batu 18, telah sudi meluangkan masa untuk menyemai semangat cintakan tanahair serta membangkitkan semangat patriotisme di kalangan warga SKDT, khususnya kepada para pelajar. Ternyata pengalaman beliau amat berguna untuk direnung dan dihayati tentang sejarah kemerdekaan negara kita.

AKTIVITI SKDT PADA BULAN JUN 2012

KURSUS DALAM PERKHIDMATAN (LADAP)
Kursus telah diadakan pada 28 Jun lalu, bertempat di Dewan SK Dusun Tua. En. Abdullah Saat b Abdul Karim, Pegawai Pengurusan Kualiti PPD Hulu Langat, telah membimbing para peserta  dengan tajuk 'Pengurusan Sekolah Berkualiti'.Guru-guru dari sekolah berdekatan, iaitu SK Lubuk Kelubi dan SK Sg Lui, turut menyertai kursus tersebut.



SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ PERINGKAT SEKOLAH
Sambutan kali ini dilaksanakan pada 27 Jun dengan menjemput penceramah daripada program Imam Muda, iaitu Imam Amirul bin Mat Banin (Top 5 Imam Muda 2010). Beliau telah menyampaikan ceramah berkaitan peristiwa israk dan mikraj yang berjaya menarik perhatian para hadirin.

Selasa, 18 September 2012

PROGRAM SUSU 1 MALAYSIA (PS1M)

Alhamdulillah, SK Dusun Tua tersenarai sebagai penerima Program Susu 1 Malaysia, sesuai dengan kedudukannya selaku sekolah luar bandar. Kesemua murid Tahun 1 hingga Tahun 6, menikmati pemberian susu percuma sebanyak 2 kotak seminggu. 
Penyelaras PS1M, Pn. Intan Zahrani Ishak bertindak mengagihkan susu kepada murid-murid dengan dibantu Skuad Susu Sekolah, pada tiap hari Selasa dan Khamis, mengikut minggu penghantaran susu oleh pihak pengedar.
Semoga anak-anak SKDT sentiasa bersyukur dengan bantuan yang diterima..

PROGRAM IKHTIAR HIDUP TKRS

·         Aktiviti bermula seawal jam 2.30 petang
·         Dimulakan dengan taklimat oleh En Mohd Ismadi berkenaan tatacara penyediaan makanan yang akan dilakukan iaitu Masakan Maggie dan Masak Telur dalam Lumpur.
·         Setelah murid dibahagikan kepada 10 kumpulan, mereka mengambil bahan dan juga mula menyediakan unggun api untuk memasak.
·         Dengan bantuan guru dan juga kerjasama semua pasukan maka nyalaan api dan masakan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
·         Semua guru penasihat menjalankan tugasan mereka dengan membantu kadet dengan baik.
·         Aktiviti selesai jam 4 petang dengan kadet  menikmati juadah  yang telah disediakan.
·         Kadet mengemas kawasan dan semua aktiviti tamat sekitar jam 4.30 petang.

~Laporan oleh En. Mohd Ismadi Damsuki, Ketua TKRS SK Dusun Tua


SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..