Isnin, 19 November 2012

PENCAPAIAN SKDT DALAM UPSR 2012 MENINGKAT

Alhamdulillah, SK Dusun Tua telah mencapai peningkatan peratus kelulusan dalam UPSR tahun 2012 ini. Peratus keseluruhan adalah 68.69 % berbanding 62.07% pada tahun lepas.

Bilangan murid yang mendapat 5A juga bertambah dari 3 orang (2011) kepada 5 orang.

Seramai 3 orang pula mendapat 4A, dan seramai 17 orang (3A).


*Keterangan Gambar Besar 5 Murid Cemerlang: Ahmad Zarif Sufian bersalaman dengan Pn Kasmani (GPK1), 
Md Nazrun Najmi, Mohd Lokman & Mardhiyyah bergambar dengan GPK1, 
& Arni Marini melihat ayahnya menerima keputusan daripada guru kelas, En Md Ahyauddin


Pihak sekolah mengucapkan TAHNIAH dan SYABAS kepada semua murid SK Dusun Tua yang berjaya dan lulus dalam peperiksaan UPSR tahun ini. Semoga kalian akan terus berjaya dalam peperiksaan akan datang yang lebih mencabar.. InsyaAllah!



Selasa, 6 November 2012

JAMUAN AKHIR TAHUN SESI 2012

Jamuan yang diadakan pada 5 November 2012 ini merupakan jamuan perpisahan bagi murid-murid Tahun 6 SKDT. Kira-kira 98 % murid telah hadir memeriahkan majlis, bersama guru-guru yang telah mendidik mereka sepanjang enam tahun bersekolah rendah di SKDT.
Pada majlis tersebut, murid-murid Tahun 6 telah mempersembahkan lakonan dan nyanyian nasyid yang menyentuh hadirin kerana mengandungi mesej berkaitan pengalaman mereka di SKDT. Semoga anak-anak didik ini tidak akan melupakan SKDT walaupun mereka telah menginjak ke persekolahan menengah nanti.


Selasa, 30 Oktober 2012

ACARA KORBAN WARGA SK DUSUN TUA, MERIAH..

Buat julung kalinya, SK Dusun Tua telah mengadakan acara korban yang disertai warga sekolah. Program anjuran Badan Kebajikan Guru & Staf (BKG) ini diharap sebagai perintis untuk dijadikan acara tahunan sekolah.
Sebanyak dua ekor lembu berjaya dikorbankan. Penyelaras program, Ustaz Amran Mansor berkata, program ini diharap dapat mewujudkan rasa persaudaraan yang erat di kalangan warga SKDT. Di samping merupakan suatu ibadah, ia juga memberi peluang untuk menjamu murid-murid sekolah, serta memberi sedikit habuan daging kepada murid-murid miskin dan anak-anak yatim.
Seramai hampir 20 orang sukarelawan/petugas dari Surau Taman Desa Sentosa, yang mana ada di antara mereka adalah ibu bapa murid sekolah ini, telah meluang masa untuk bersama-sama melapah daging lembu korban. Pihak sekolah amat menghargai bantuan yang dihulurkan, serta merakam ucapan "TERIMA KASIH" kepada semua yang terlibat menjayakan program ini.
Gambar menunjukkan kerja-kerja melapah daging lembu yang dijalankan secara gotong-royong antara warga SKDT 
dan sukarelawan Surau Taman Desa Sentosa
Pada hari yang sama, Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Sekolah turut diadakan. Pertandingan Melukis & Mewarna telah diadakan bagi murid-murid Tahap 1, manakala Pertandingan Nasyid bagi Tahap 2. Untuk program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP), hanya SK Lubok Kelubi yang telah menghantar 4 orang murid untuk menyertainya.
Diharapkan semoga aktiviti '3 dalam 1' yang telah dijalankan ini mampu mengeratkan hubungan harmoni   di kalangan warga sekolah mahupun dengan penduduk  dan sekolah berdekatan.








Selasa, 23 Oktober 2012

PERKHEMAHAN PERDANA BADAN BERUNIFORM 2012

KingfisherAdventures, Kg Sg Semungkis, Hulu Langat, menjadi pilihan untuk program Perkhemahan Perdana Badan Beruniform SK Dusun Tua bagi tahun 2012 ini. Seramai 39 orang murid (27 Perempuan dan 12 Lelaki) telah menyertai perkhemahan kali ini.
Menurut Pengerusi Perkhemahan yang juga GPK Kokurikulum SKDT, En Razali Ismail, program yang dijalankan selama 3 hari ini bertujuan membentuk jati diri murid, selain mendedahkan murid dengan pengalaman berkhemah yang betul, terancang, serta tindakan proaktif yang perlu diambil dalam menjalani segala aktiviti perkhemahan.
4 unit Badan Beruniform yang terlibat adalah Bulan Sabit Merah Malaysia, Tunas Kadet Remaja Sekolah, Puteri Islam dan Pengakap.
Antara aktiviti yang dijalankan secara berkumpulan ialah 'Rentak Kerja Kreatif',
'Merentas Halangan' (Obstacle Course), Ceramah Kecemerlangan, 
Malam Kebudayaan & Penghayatan (Muhasabah Diri) serta 'Night Operation' 
Ustaz Amran Mansor bertindak selaku Kem Komander, manakala Ustaz Nor Azamri Ishak dan 
En. Muhd Khairuddin Mohd Nordin sebagai penolong Kem Komander. Beberapa orang guru 
turut bekerjasama menginap di perkhemahan untuk mengawalselia keselamatan murid-murid.
                   'Terima Kasih' kepada semua pihak yang telah menjayakan perkhemahan pada tahun ini.

Laporan oleh: Pn Siti Aminah Husain,
                     Setiausaha Perkhemahan Perdana Badan Beruniform SK Dusun Tua


Khamis, 11 Oktober 2012

CERAMAH ANTI-DADAH

Bertempat di Dewan Besar SK Dusun Tua, sesi ceramah sempena Minggu Anti-Dadah telah diadakan pada 4 Oktober lalu. Penceramah jemputan, Ustaz Noorhisham Hamzah, Kaunselor SK Bangi, sekali lagi telah sudi hadir menyampaikan ceramah. Beliau seperti biasa telah menarik perhatian dan minat murid-murid dengan kupasan inti ceramahnya yang menarik dan 'berisi'. Semoga murid-murid lebih berwaspada dengan bahaya ancaman dadah serta berazam untuk tidak langsung terlibat dengan penyalahgunaannya.

SUMBANGAN KOMPUTER DARIPADA AHLI PARLIMEN

Pihak sekolah telah menerima sumbangan sebuah set komputer, pencetak dan wifi modem, daripada YB Dr Che Rosli Che Mat, Ahli Parlimen Hulu Langat, untuk kegunaan pejabat. Ini akan memudahkan  kerja-kerja pentadbiran memandangkan banyak urusan memerlukan penggunaan secara atas talian. Di samping itu, komputer yang sedia ada juga agak lama selain tidak mempunyai perisian terkini.
YB Dr Che Rosli Che Mat telah hadir bersama pegawai perhubungannya untuk menyerahkan sendiri set komputer tersebut. Beliau menerangkan sumbangan peribadi itu atas khidmat sosial, di samping akan memudahkan pihak sekolah menguruskan hal berkaitan data murid, keperluan maklumat secara 'on-line' dsb kepada warga sekolah dengan lebih baik. Beliau juga berharap, sumbangan itu tidak disalahertikan kerana hasratnya lebih kepada membantu pihak sekolah amnya, dan murid-murid khususnya, terutama dalam mendepani zaman ICT. Warga sekolah mengucapkan 'TERIMA KASIH DAUN KELADI' buat YB Dr Che Rosli Che Mat.

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..