Selasa, 21 Februari 2012

PROGRAM TRANSISI DAN ORIENTASI TAHUN 1 SESI 2012

Program Transisi dan Orientasi Tahun 1 telah dijalankan selama 2 minggu bermula 3 Januari hingga 13 Januari 2012 di SK Dusun Tua, Hulu Langat. Program tersebut melibatkan semua murid Tahun 1, guru-guru dan staf sekolah. Bermula dengan taklimat kepada ibu bapa mengenai pengurusan pendaftaran murid, perjalanan orientasi, hal ehwal murid serta maklumat penting seperti KSSR, PBS, MBMMBI, LINUS dan sebagainya. Taklimat yang berkaitan telah disampaikan oleh Guru Besar SKDT, Guru Penolong Kanan HEM, dan Penyelaras Program Transisi Tahun 1/2012. Di samping taklimat tersebut, ujian bertulis juga telah dijalankan ke atas murid-murid bagi menentukan kelas yang akan diduduki.
Sepanjang minggu orientasi, berbagai aktiviti telah dirancang berlangsung dengan lancar. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah aktiviti mengenal rakan-rakan sekelas, guru-guru Tahun 1 dan juga mengenal kawasan sekolah untuk menyesuaikan diri murid-murid dengan suasana persekolahan yang baru. Antara lainnya, murid juga telah menyertai aktiviti yang melibatkan matapelajaran yang akan mereka belajar di dalam kelas menggunakan modul KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) melalui aktiviti membaca, menulis, mengira dan mewarna. Murid-murid juga diuji tahap kecerdasan mereka melalui aktiviti sukaneka sebelum mereka mengakhiri Program Transisi dan Orientasi Tahun 1.
Tanggal 16 Januari 2012, satu Majlis Penutupan Program Transisi Tahun 1 telah diadakan secara ringkas pada waktu perhimpunan pagi di mana murid-murid Tahun 1 telah menyanyikan lagu Anak Cemerlang beramai-ramai. Sebagai tanda program tersebut telah tamat dengan jayanya, murid-murid telah diberikan saguhati kerana telah berjaya menjalani program transisi dan orientasi sehingga akhir.
- Laporan oleh Pn. Cik Zuhal Aleas, Penyelaras Program Tahun 1 sesi 2012

Rabu, 15 Februari 2012

BLOG AKAN DIKEMASKINI BAGI SESI PERSEKOLAHAN2012..

Terlebih dahulu, admin blog HEM SKDT memohon kemaafan kepada saudara pengunjung, khasnya warga sekolah ~ para guru, staff, murid-murid serta ibu bapa penjaga pelajar yang sesekali menjengah ke blog ini. Kekangan masa, ketiadaan bahan dan laporan telah menyebabkan blog ini agak lama tidak dikemaskini. Inilah masalah yang seringkali blogger yang dipertanggungjawabkan mengendali sesuatu blog hadapi, dalam memuaskan hati pengunjung dan 'pengikut setia', 'menikmati' rencah berita dan cerita yang hendak dipaparkan..

InsyaAllah, selepas ini, apa-apa bahan dan maklumat akan cuba dimuatkan dalam blog ini, agar warga sekolah (guru, staff & murid-murid) serta ibu bapa penjaga pelajar dapat mengetahui perkembangan yang berlaku di sekolah tercinta kita ~ SK Dusun Tua bagi sesi 2012.

Khamis, 8 September 2011

"SELAMAT HARI RAYA'

Bagi pihak barisan pentadbir SK Dusun Tua, kami mengucapkan "SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR & BATIN" ~ buat semua pengunjung blog ini, dan khususnya kepada warga SKDT (guru, staff, murid, dan ibu bapa penjaga murid).
Semoga lebaran mengeratkan hubungan sesama kita..
Wassalam.

Rabu, 3 Ogos 2011

'SELAMAT BERPUASA'

Bagi pihak pentadbiran SK Dusun Tua, diucapkan 'Selamat Berpuasa' kepada semua muslimin dan muslimat, khususnya kepada warga pendidik dan murid-murid di daerah Hulu Langat.

Semoga Ramadhan al-Mubarak mampu mentarbiah kita untuk menjadi seorang hamba yang lebih beriman dan bertaqwa, serta mampu membentuk peribadi mulia.. Amiin!



Selasa, 12 Julai 2011

SYABAS ~ PASUKAN 'ACTION SONG COMPETITION' SK DUSUN TUA

Meskipun pertama kali menyertai pertandingan, pasukan 'Action Songs' SK Dusun Tua telah berjaya menjadi johan di peringkat Zon Cheras. Kita berjaya mengalahkan 8 buah sekolah yang lain.
Pada peringkat daerah Hulu Langat, pasukan bimbingan Pn. Cik Zuhal Aleas dan Pn. Nur Hafizah Md. Faiz ini, yang dibantu En. Muhd. Ahyauddin Samsudin dan En. Mohd. Shukur (guru praktikum IPGM Teknik), telah berjaya mendapat tempat ketiga. Yang menariknya, peserta SKDT membuat persembahan ketiga, dan secara kebetulan pula mendapat tempat ketiga.
SYABAS diucapkan kepada semua guru pembimbing dan murid-murid yang terlibat. Semoga lebih berjaya pada masa hadapan.

*Laporan oleh Pn. Cik Zuhal Aleas, Guru Pembimbing Pasukan 'Action Songs' SKDT

Sabtu, 28 Mei 2011

PERSEMBAHAN KUMPULAN NASYID PENGUBAT KESEDIHAN..

Beberapa buah kumpulan nasyid tanahair telah mengadakan lawatan dan turut membuat persembahan bagi menghiburkan mangsa tragedi tanah runtuh PAYM. Mereka turut berkenan menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan dan wang.

Program anjuran Persatuan Munsyid ini menampilkan kumpulan UNIC, Inteam dan Mestica. Semoga usaha mereka diberkati Ilahi jua...

PENYERAHAN DERMA KEPADA MANGSA TRAGEDI TANAH RUNTUH PAYM

Pada 27 Mei 2011, Guru Besar SK Dusun Tua, Pn. Hjh. Masirah Rahmad bersama-sama dengan Pn. Hjh. Kasmani Salleh (GPK Pentadbiran), En. Adlan Mohd. Ali (GPK Hal Ehwal Murid), Pn. Hjh. Nyai @ Mariani Ujud (Guru Bimbingan) dan Pn. Hariati Idris (Penyelaras Kebajikan), telah berkunjung ke Lembah Azwen Resort, untuk menyerahkan hasil kutipan derma daripada warga SK Dusun Tua, kepada pihak pengurusan Pusat Anak-anak Yatim & Anak-anak Hidayah (PAYM) Madrasah at-Taqwa.
Pada pagi tersebut, kebetulan pula beberapa kumpulan nasyid tanahair antaranya UNIC, Inteam dan Mestica, telah mengadakan persembahan bagi menghiburkan mangsa tragedi tanah runtuh. Mereka turut menyampaikan sumbangan barangan dan wang.

Semoga anak-anak malang itu cekal dan sabar dengan segala ujian yang ditakdirkan-NYA. Didoakan juga semoga Allah cucuri rahmat ke atas mereka yang terkorban dalam kejadian tragis itu.
al-Fatihah..

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..