Sabtu, 28 Mei 2011

PERSEMBAHAN KUMPULAN NASYID PENGUBAT KESEDIHAN..

Beberapa buah kumpulan nasyid tanahair telah mengadakan lawatan dan turut membuat persembahan bagi menghiburkan mangsa tragedi tanah runtuh PAYM. Mereka turut berkenan menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan dan wang.

Program anjuran Persatuan Munsyid ini menampilkan kumpulan UNIC, Inteam dan Mestica. Semoga usaha mereka diberkati Ilahi jua...

PENYERAHAN DERMA KEPADA MANGSA TRAGEDI TANAH RUNTUH PAYM

Pada 27 Mei 2011, Guru Besar SK Dusun Tua, Pn. Hjh. Masirah Rahmad bersama-sama dengan Pn. Hjh. Kasmani Salleh (GPK Pentadbiran), En. Adlan Mohd. Ali (GPK Hal Ehwal Murid), Pn. Hjh. Nyai @ Mariani Ujud (Guru Bimbingan) dan Pn. Hariati Idris (Penyelaras Kebajikan), telah berkunjung ke Lembah Azwen Resort, untuk menyerahkan hasil kutipan derma daripada warga SK Dusun Tua, kepada pihak pengurusan Pusat Anak-anak Yatim & Anak-anak Hidayah (PAYM) Madrasah at-Taqwa.
Pada pagi tersebut, kebetulan pula beberapa kumpulan nasyid tanahair antaranya UNIC, Inteam dan Mestica, telah mengadakan persembahan bagi menghiburkan mangsa tragedi tanah runtuh. Mereka turut menyampaikan sumbangan barangan dan wang.

Semoga anak-anak malang itu cekal dan sabar dengan segala ujian yang ditakdirkan-NYA. Didoakan juga semoga Allah cucuri rahmat ke atas mereka yang terkorban dalam kejadian tragis itu.
al-Fatihah..

Selasa, 24 Mei 2011

SEKITAR PENGURUSAN JENAZAH MANGSA TRAGEDI

Dipaparkan beberapa keping gabungan foto untuk tatapan warga SKDT yang tidak berkesempatan menghadiri majlis solat jenazah dan pengebumian mangsa tragedi tanah runtuh PAYM Madrasah at-Taqwa, Sg. Gahal, Batu 14, Hulu Langat.
Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor, YB Dato Dr. Hassan Ali, serta beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Undangan Negeri turut hadir. 7 orang peserta Imam Muda Astro juga kelihatan, serta salah seorang daripada mereka membaca doa selepas bacaan talqin.
Jenazah 7 orang dikebumikan dalam satu liang lahad. Hanya seorang daripadanya adalah murid SK Dusun Tua. (Baki jenazah murid SKDT dikebumikan di kampung halaman masing-masing).

Semoga Allah melimpahkan rahmat keampunan buat mereka, melapangkan mereka di alam barzakh dari segala siksaan, serta menempatkan roh mereka di kalangan para solihin. Amiin.
al-Fatihah..

Isnin, 23 Mei 2011

PENCAPAIAN PASUKAN BOLA SEPAK SKDT


Laporan pasukan bola sepak SKDT MSSDHL Zon Cheras 2011.

Tarikh : 22-24 Mac 2011

Tempat: Padang SK Sg. Lui

Hari / Tarikh

Perlawanan

Keputusan

Peringkat

Selasa

(22 Mac 2011)

SK Dusun Tua vs SK Dusun Nanding

Seri 1 -1

(menang penalti

3 - 2)

Jaringan : Abdul Azziz bin Mohd Nasir

Kumpulan

SK Dusun Tua vs SK Tun Abdul Aziz Majid

Menang 1 -0

Jaringan : Muhammad Amirul Fithri bin Norazman

Rabu

(23 Mac 2011)

SK Dusun Tua vs Sekolah Seri Chempaka

Seri 1 - 1

(menang penalti 2 - 0)

Jaringan : Muhammad Daniel Asraff bin Mohd Rudzi

Kumpulan

Khamis

(24 Mac 2011)

SK Dusun Tua vs SK Bandar Tun Hussien Onn

Seri 1 - 1

(Tewas penalti

0 - 2)

Jaringan : Muhammad Iman Naim bin Mazli

Suku Akhir


Kumpulan C

P

M

S

K

J

B

Mata

SK Dusun Tua

3

1

2

0

3

2

5

SK Dusun Nanding

3

1

2

0

3

2

5

Sekolah Seri Chempaka

3

0

3

0

1

1

3

SK Tun Abdul Aziz Majid

3

0

1

2

1

3

1

Pencapaian pasukan bola sepak sekolah masih dianggap baik, serta berpotensi untuk meningkatkan kemajuan pada masa hadapan. Ini berdasarkan bakat beberapa individu dari kalangan murid Tahun 4 dan 5.

Dua orang pemain SKDT telah terpilih menjalani ujian pemilihan untuk mewakili Zon Cheras.

1. Muhammad Aizad bin Abdullah

2. Muhammad Al-Fatih bin Mohd Zaki

Semoga pasukan kita akan berjaya pada masa hadapan.


- Laporan oleh ; En. Nazamuddin Said Doll Hardhari,

Jurulatih Elit Pasukan Bola Sepak SK Dusun Tua

Ahad, 22 Mei 2011

7 ORANG MURID SK DUSUN TUA TERKORBAN DALAM KEJADIAN TANAH RUNTUH.. SALAM TAKZIAH BUAT KELUARGA MANGSA




Tragedi tanah runtuh yang meranapkan sebahagian Pusat Anak Yatim & Hidayah Madrasah at-Taqwa (PAYM), Batu 14, Hulu Langat semalam, amat mengejutkan. Warga SKDT merasa amat dukacita atas kejadian malang yang menimpa mereka.

16 orang disahkan terkorban, yang mana 7 orang daripadanya disahkan murid sekolah kami.
Mereka yang dimaksudkan adalah seperti berikut ;
1. MUHAMMAD NAERZEIM B. HJ. MOHD. NOR ((2 MESRA)
2. MUHAMMAD RIEZMAN B. ABDUL LATIF (3 MESRA)
3. SHAHRUL NURIMRAN B. ADNAN (3 MESRA)
4. MOHD. AIMAN B. ABDULLAH (4 MESRA)
5. MUHAMAD KAMARUL AMIEZAM (4 MESRA)
6. LOKMAN HAKIMI B. ABD. SATAR (5 MULIA)
7. MUHAMMAD MUSTAQQIM B. MAMAT (6 MESRA)
(*Senarai nama tersebut, GPK HEM sahkan daripada Ketua Warden PAYM, Ustaz Mohd. Hambali Ismail)

Kesedihan yang dirasai bersama, menyedarkan kita bahawa sesungguhnya hidup ini hanya sementara jua.. Semoga Allah SWT memasukkan mereka di kalangan orang-orang yang beroleh rahmat keampunan, keredhaan, serta ditempatkan di sisi para solehin..
al-Fatihah..


Selasa, 17 Mei 2011

"SELAMAT HARI GURU" ~ BUAT SEMUA WARGA PENDIDIK

Unit Hal Ehwal Murid SK Dusun Tua, ingin mengucapkan "SELAMAT HARI GURU" buat semua warga pendidik, khususnya kepada guru-guru di sekolah ini, serta para pengunjung blog yang terdiri daripada kalangan pendidik..

Semoga ALLAH SWT merahmati dan memberkati tugas kita dalam memberi ilmu pengetahuan dan pendidikan terhadap anak-anak murid kita.. Amiin.

KEJOHANAN SEPAK TAKRAW (MSSDHL) - SK DUSUN TUA, "CUBA LAGI!"

Kejohanan Sepak Takraw (R) MSSD Hulu Langat telah diadakan pada 18 dan 19 April 2011. Sebanyak 66 regu telah mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

SK Dusun Tua telah menghantar 2 regu iaitu Regu ‘A’ dan Regu ‘B’. Regu ‘A’ terdiri daripada Muhamad Amir Johan, Muhamad Syahmi, Khairul Naim dan Muhamad Budriz. Manakala Regu ‘B’ diwakili Ahmad Mubarak, Muhamad Fithri, Muhamad Shazmie dan Muhamad Jailani.

Pasukan SK Dusun Tua telah dilatih oleh En. Nor Azamri dan En. Mohd Sukree. En. Zainal Abidin pula bertindak selaku pengurus pasukan.

Peringkat pertama kejohanan tersebut diadakan secara liga. Regu ‘A’ telah tewas kepada regu SK Jalan 4. Regu ‘B’ telah berjaya pada pusingan pertama selepas mengalahkan regu SK Bangi ‘A’.

Pada pusingan kedua, Regu ‘B’ SK Dusun Tua telah berjaya melangkah ke suku akhir setelah berjaya menewaskan SK Taming Jaya ‘A’ dan SK Ampang ‘B’.

Pada peringkat suku akhir, SK Dusun Tua telah tewas tipis (20-22) kepada SK Bandar Tun Hussein Onn.

Walaupun tewas, SK Dusun Tua berazam akan mempertingkatkan usaha untuk lebih berjaya pada kejohanan yang akan datang.

-Laporan oleh : En. ZAINAL ABIDIN B HJ MOHD BERAWI,

Pengurus Pasukan Sepak Takraw SK Dusun Tua 2011

Khamis, 12 Mei 2011

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL (PERINGKAT SEKOLAH)

Sambutan maulidur rasul peringkat sekolah telah diadakan pada 25 Februari lalu. Acara dimulakan dengan perarakan di kawasan sekolah, sambil murid-murid berselawat..
Turut diadakan ialah pertandingan mewarna tulisan khat bagi Tahap 1.
Bagi Tahap 2, acara khusus buat mereka ialah pertandingan berselawat, deklamasi sajak dan syair (bertemakan baginda Rasulullah saw) serta bercerita (Islam) dan kuiz.



*Terima kasih kepada sdra. Adib Baharuddin (pelajar IPGM Kampus Teknik) yang telah menyediakan klip video di atas.

KEJOHANAN 'ROAD RUN'

Kejohanan 'Road Run' peringkat sekolah telah diadakan pada 26 Januari 2011. Selain murid, guru juga ikut sama berlari dan berjogging bersama bagi menunjukkan keprihatinan terhadap keselamatan murid-murid.
Klip video ini telah disediakan oleh sdra. Adib Baharuddin, pelajar IPGM Kampus Teknik. (Terima Kasih buat beliau!)

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..