Khamis, 7 Januari 2016

HARI SUAI KENAL TAHUN 1 &PRASEKOLAH SESI PERSEKOLAHAN 2016

 Pada 31 Disember 2015, telah diadakan program Hari Suai Kenal Murid-murid Tahun 1 dan Prasekolah bagi sesi persekolahan 2016. Kira-kira 115 orang murid telah mendaftar di SK Dusun Tua.
 Bertempat di Dewan SK Dusun Tua, sesi taklimat kepada ibu bapa penjaga murid telah disampaikan oleh GPK Pentadbiran dan Kurikulum, Pn Hjh Kasmani bt Salleh @ Yong. Beliau menyentuh hal pengurusan sekolah dan berkaitan kurikulum. GPK Hal Ehwal Murid, En. Adlan Mohd Ali pula memberi taklimat berkenaan disiplin, hal ehwal kebajikan murid, kesihatan, bantuan KPM dan sebagainya. 
    Penyelaras Bestari sekolah, En. Muhammad Ahyauddin Samsudin menerangkan tentang program Transisi Tahun 1 yang akan dijalankan sepanjang 2 minggu persekolahan.
     Sementara itu, Program Suai Kenal Prasekolah berlangsung di kelas praIntan. Tuan Guru Besar, En. Mohamad Thani b. Abdullah turut bersama dengan ibu bapa penjaga murid, bagi menyampaikan perutusannya. Guru Kelas PraIntan, En. Mohd. Khalik Kamarudin dan Pn. Salmah Kamari (PraPermata) pula memberikan taklimat berkaitan program-program prasekolah. Turut dijalankan mesyuarat pemilihan Pewaris, yang dianggotai ibu bapa murid-murid prasekolah.

     Semoga anak-anak ini akan menjadi insan terdidik dan terbaik, bagi meneruskan generasi pelapis yang bakal memimpin negara suatu hari nanti.

Isnin, 21 September 2015

GOTONG ROYONG FASA 1 TAHUN 2015

Program Gotong-Royong Fasa 1 telah berjaya dijalankan pada 14 Februari lalu. Pihak sekolah ingin merakam ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ibu bapa penjaga murid SK Dusun Tua, PIBG, Ketua-ketua kampung, pihak swasta, serta orang perseorangan yang terlibat memberikan sokongan dari segi tenaga, masa, wang ringgit dan keringat, hingga menjayakan program tersebut. Semoga Allah SWT memberikan balasan terbaik buat semua.

Khamis, 7 Mei 2015

PENILAIAN KENDALIAN SEKOLAH RENDAH 1 / 2015

Peperiksaan akan dijalankan seperti jadual di atas. 
Harap ibu bapa penjaga murid memastikan anak-anak membuat persediaan yang rapi bagi menghadapi peperiksaan tersebut. 
Semoga berjaya

Isnin, 15 Disember 2014

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN 2014

Hari Anugerah Kecemerlangan SK Dusun Tua telah diadakan pada 20 November lalu.
Tahniah diucapkan kepada semua penerima hadiah. Semoga terus mencapai kemajuan dan kecemerlangan.

Jumaat, 10 Mei 2013

AKTIVITI DI SK DUSUN TUA PADA BULAN MAC 2013

PELANCARAN PROGRAM "CIKGUMU CANTIK"  (1 MAC 2013)
Program "CikguMu Cantik" adalah satu program yang dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah  Hulu Langat (PPDHL) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat. Antara objektifnya adalah ke arah menjadikan daerah Hulu Langat bebas daripada ancaman wabak denggi. 
Guru dan murid akan bersama-sama mengambil masa selama kira-kira 10 minit dalam seminggu, untuk mencari dan memusnahkan jentik-jentik di tempat-tempat yang berisiko.

LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN (LADAP) SIRI 2 (12 MAC 2013)
Tuan Guru Besar, En. Mohd Sahar Othman telah menyampaikan ceramahnya berkaitan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2025, manakala Pn. Noor Hamidah Hamdan (Ketua Kerani) pula membimbing guru/staf bagi tajuk "Sistem Pengurusan Fail"
Latihan ini telah memberikan ilmu pengetahuan yang berguna kepada semua guru/staf SKDT.

PELANCARAN PROGRAM MENGGAPAI BINTANG (18 MAC 2013)
Demi membantu murid-murid LINUS, program berteraskan bimbingan Mentor-Mentee ini dilaksanakan di sekolah. Pn. Siti Mardhiyyah Ramli dan Cik Nurizyan Zainuddin  menjadi guru penyelaras bagi program tersebut. Beberapa orang guru pembimbing pula telah dilantik sebagai mentor kepada murid-murid (mentee) berkenaan.
MAJLIS PERPISAHAN DENGAN KETUA KERANI (29 MAC 2013)
Ketua kerani SKDT, Pn. Noor Hamidah Hamdan, telah dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke SK Desa Baiduri pada 1April lalu. Majlis ringkas perpisahan telah diadakan di kalangan staf dan barisan pentadbir di pejabat. Warga SKDT mengucapkan "Selamat Maju Jaya" kepada beliau, dan semoga pertukarannya akan memberikan kebahagiaan dan hikmah kepadanya.





Sabtu, 9 Mac 2013

AKTIVITI SK DUSUN TUA PADA BULAN FEBRUARI 2013

SAMBUTAN MAULIDURRASUL PERINGKAT SEKOLAH
Diadakan pada 1 Februari 2013. Antara aktiviti yang dijalankan ialah ceramah mengenang kelahiran baginda Rasulullah saw, perarakan dan berselawat, pertandingan sepanduk dan kuiz agama.
 KURSUS KEPIMPINAN - PEMIMPIN MUDA
 Telah dilaksanakan pada 2 Februari lalu. Kursus telah diberi kepada semua Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pembimbing Rakan Sebaya, Pengawas Bilik BOSS, dan Ketua Kelas serta Penolong Ketua Kelas Tahap 2.
 KECERIAAN SEKOLAH KITA
 Kerja-kerja pembersihan bangunan blok A telah dibuat bagi memudahkan usaha mengecat bangunan sekolah. Yayasan Kebajikan Wanita Negara (di bawah Kementerian Wanita & Luar Bandar) telah menaja kos untuk projek ini. Di samping itu, pihak sekolah juga telah melaksanakan program keceriaan sekolah dengan membeli papan tanda dan sebagainya, bertujuan menceriakan kawasan sekolah kita.

                      PELANCARAN PROGRAM NILAM SEDAERAH (4 Februari 2013)
 PROGRAM MOTIVASI TAHAP 2 (14 Februari 2013)
 KHIDMAT BANTU OLEH PPD (14 Februari 2013)
 NAZIR 'BERKAMPUNG - 18 hingga 22 Februari 2013
 LALUAN PEJALAN KAKI BAGI MURID
Bermula 20 Februari, atas dasar keselamatan murid-murid, laluan baru telah diperkenalkan. Begitupun, bahagian tangga sedia ada akan ditingkatkan taraf setelah sekolah mempunyai dana untuk menambahbaik dan memberi keselesaan kepada murid-murid. Semoga ibu bapa dan penjaga murid memahami kekurangan yang dialami oleh pihak sekolah.



Sabtu, 16 Februari 2013

PERLAWANAN BOLA SEPAK PERSAHABATAN SK DUSUN TUA

SK Dusun Tua telah mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan menentang SK Lubok Kelubi pada 31 Januari lalu. Pasukan sekolah kita memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 4-2.
Diucapkan 'TAHNIAH' kepada barisan kepimpinan dan jurulatih SKDT yang bertungkus lumus membentuk skuad impian. Semoga terus berjaya menggapai kecemerlangan..


KEJOHANAN MERENTAS DESA ('ROAD RUN')

Kejohanan Merentas Desa ('Road Run') telah diadakan pada 25 Januari lalu.
Meskipun hujan turun pada awal pagi, namun kejohanan diteruskan dengan lancar setelah hujan reda. Alhamdulillah, tiada kemalangan atau kecederaan yang berlaku.
Sesi penyampaian hadiah dilaksanakan pada hari yang sama. Pemenang tempat pertama hingga kelima menerima hamper dan sijil, manakala tempat keenam hingga kesepuluh menerima sijil
Para pemenang bagi setiap kategori bergambar kenangan. Pemenang utama tiap kategori akan dilatih untuk mewakili sekolah ke peringkat daerah Hulu Langat. Syabas diucapkan kepada semua pemenang dan JK Pelaksana Kejohanan  yang telah mengendalikan acara itu dengan baik dan lancar.




AKTIVITI-AKTIVITI YANG DIJALANKAN SEPANJANG JANUARI 2013

HARI RAMAH MESRA TAHUN 6 (PERJUMPAAN IBU BAPA & GURU TAHUN 6 SESI 2013) DIADAKAN PADA 12 JANUARI 2013

MINGGU PENUTUP PROGRAM TRANSISI TAHUN 1 SESI 2013 ( 14 JANUARI 2013 )
MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN KHAS AWAL PERSEKOLAHAN (BKAP) RM 100
PERINGKAT DUN DUSUN TUA OLEH YB ISMAIL SANI
 DI SMK DUSUN NANDING (16 JANUARI 2013)
MAJLIS PELANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH, PENGAWAS PUSAT SUMBER, 
PENGAWAS SPBT, PEMBIMBING RAKAN SEBAYA 
& KETUA & PENOLONG KETUA KELAS  (21 JANUARI 2013)

MAJLIS PENYERAHAN BKAP RM100 PERINGKAT SEKOLAH (21 JANUARI 2013)










Selasa, 22 Januari 2013

PIHAK PEJABAT SKDT MENERIMA SUMBANGAN LAPTOP DARIPADA IPGM (ILMU KHAS)

Alhamdulillah, pihak sekolah telah menerima sumbangan dua buah laptop untuk kegunaan warga kerja (pejabat). Penerimaan laptop ini akan memudahkan kerja-kerja pengurusan pejabat, data murid, serta untuk kegunaan staf yang mengikuti kursus luar sekolah.

*En. Mohd Shaferi Hassim, Ketua Jabatan Teknologi Maklumat IPGM (Ilmu Khas) menyampaikan dua buah laptop kepada Guru Besar SK Dusun Tua, En. Mohd Sahar Othman. Turut hadir sama daripada IPGM (Ilmu Khas) di majlis ringkas itu adalah En. Norzamani Abu Hassan, 
Datin Junaida Ahmad dan Pn. Haslina Hassan.

Pihak pengurusan sekolah mengucapkan 'Jutaan Terima Kasih' kepada En. Mohd Shaferi dan rakan-rakannya yang telah mengambil inisiatif untuk memberikan bantuan dan khidmat sosial kepada warga kerja sekolah. Semoga segala jasa diberi balasan yang setimpal oleh-NYA.. Aamiin.

Rabu, 9 Januari 2013

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH!

"Selamat kembali ke sekolah"~ buat semua anak didik SK Dusun Tua..
"Selamat Datang"~ buat semua murid baru, murid prasekolah dan murid Tahun 1 yang baru menjadi 'warga SKDT'..
"Selamat Bertugas"~ buat Pn. Masitah Ahmad dan Pn. Masiah Faridah Rakmad yang bertukar masuk ke SK Dusun Tua..
Semoga anak didik semua akan beroleh ilmu pengetahuan dan didikan yang terbaik daripada warga pendidik SK Dusun Tua.. Insya-Allah!
Kepada Pn. Cik Zuhal Aleas, warga SKDT mengucapkan "Selamat Maju Jaya" buat beliau yang berpindah ke SK Bandar Tun Hussein Onn.. Ungkapan "Sejambak TERIMA KASIH" juga buat beliau atas segala jasa sepanjang berkhidmat di SKDT..

Semoga Allah memberkati segala usaha kita kearah mencapai kecemerlangan pada tahun 2013 ini..
Didoakan!



Isnin, 19 November 2012

PENCAPAIAN SKDT DALAM UPSR 2012 MENINGKAT

Alhamdulillah, SK Dusun Tua telah mencapai peningkatan peratus kelulusan dalam UPSR tahun 2012 ini. Peratus keseluruhan adalah 68.69 % berbanding 62.07% pada tahun lepas.

Bilangan murid yang mendapat 5A juga bertambah dari 3 orang (2011) kepada 5 orang.

Seramai 3 orang pula mendapat 4A, dan seramai 17 orang (3A).


*Keterangan Gambar Besar 5 Murid Cemerlang: Ahmad Zarif Sufian bersalaman dengan Pn Kasmani (GPK1), 
Md Nazrun Najmi, Mohd Lokman & Mardhiyyah bergambar dengan GPK1, 
& Arni Marini melihat ayahnya menerima keputusan daripada guru kelas, En Md Ahyauddin


Pihak sekolah mengucapkan TAHNIAH dan SYABAS kepada semua murid SK Dusun Tua yang berjaya dan lulus dalam peperiksaan UPSR tahun ini. Semoga kalian akan terus berjaya dalam peperiksaan akan datang yang lebih mencabar.. InsyaAllah!



Selasa, 6 November 2012

JAMUAN AKHIR TAHUN SESI 2012

Jamuan yang diadakan pada 5 November 2012 ini merupakan jamuan perpisahan bagi murid-murid Tahun 6 SKDT. Kira-kira 98 % murid telah hadir memeriahkan majlis, bersama guru-guru yang telah mendidik mereka sepanjang enam tahun bersekolah rendah di SKDT.
Pada majlis tersebut, murid-murid Tahun 6 telah mempersembahkan lakonan dan nyanyian nasyid yang menyentuh hadirin kerana mengandungi mesej berkaitan pengalaman mereka di SKDT. Semoga anak-anak didik ini tidak akan melupakan SKDT walaupun mereka telah menginjak ke persekolahan menengah nanti.


Selasa, 30 Oktober 2012

ACARA KORBAN WARGA SK DUSUN TUA, MERIAH..

Buat julung kalinya, SK Dusun Tua telah mengadakan acara korban yang disertai warga sekolah. Program anjuran Badan Kebajikan Guru & Staf (BKG) ini diharap sebagai perintis untuk dijadikan acara tahunan sekolah.
Sebanyak dua ekor lembu berjaya dikorbankan. Penyelaras program, Ustaz Amran Mansor berkata, program ini diharap dapat mewujudkan rasa persaudaraan yang erat di kalangan warga SKDT. Di samping merupakan suatu ibadah, ia juga memberi peluang untuk menjamu murid-murid sekolah, serta memberi sedikit habuan daging kepada murid-murid miskin dan anak-anak yatim.
Seramai hampir 20 orang sukarelawan/petugas dari Surau Taman Desa Sentosa, yang mana ada di antara mereka adalah ibu bapa murid sekolah ini, telah meluang masa untuk bersama-sama melapah daging lembu korban. Pihak sekolah amat menghargai bantuan yang dihulurkan, serta merakam ucapan "TERIMA KASIH" kepada semua yang terlibat menjayakan program ini.
Gambar menunjukkan kerja-kerja melapah daging lembu yang dijalankan secara gotong-royong antara warga SKDT 
dan sukarelawan Surau Taman Desa Sentosa
Pada hari yang sama, Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Sekolah turut diadakan. Pertandingan Melukis & Mewarna telah diadakan bagi murid-murid Tahap 1, manakala Pertandingan Nasyid bagi Tahap 2. Untuk program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP), hanya SK Lubok Kelubi yang telah menghantar 4 orang murid untuk menyertainya.
Diharapkan semoga aktiviti '3 dalam 1' yang telah dijalankan ini mampu mengeratkan hubungan harmoni   di kalangan warga sekolah mahupun dengan penduduk  dan sekolah berdekatan.








Selasa, 23 Oktober 2012

PERKHEMAHAN PERDANA BADAN BERUNIFORM 2012

KingfisherAdventures, Kg Sg Semungkis, Hulu Langat, menjadi pilihan untuk program Perkhemahan Perdana Badan Beruniform SK Dusun Tua bagi tahun 2012 ini. Seramai 39 orang murid (27 Perempuan dan 12 Lelaki) telah menyertai perkhemahan kali ini.
Menurut Pengerusi Perkhemahan yang juga GPK Kokurikulum SKDT, En Razali Ismail, program yang dijalankan selama 3 hari ini bertujuan membentuk jati diri murid, selain mendedahkan murid dengan pengalaman berkhemah yang betul, terancang, serta tindakan proaktif yang perlu diambil dalam menjalani segala aktiviti perkhemahan.
4 unit Badan Beruniform yang terlibat adalah Bulan Sabit Merah Malaysia, Tunas Kadet Remaja Sekolah, Puteri Islam dan Pengakap.
Antara aktiviti yang dijalankan secara berkumpulan ialah 'Rentak Kerja Kreatif',
'Merentas Halangan' (Obstacle Course), Ceramah Kecemerlangan, 
Malam Kebudayaan & Penghayatan (Muhasabah Diri) serta 'Night Operation' 
Ustaz Amran Mansor bertindak selaku Kem Komander, manakala Ustaz Nor Azamri Ishak dan 
En. Muhd Khairuddin Mohd Nordin sebagai penolong Kem Komander. Beberapa orang guru 
turut bekerjasama menginap di perkhemahan untuk mengawalselia keselamatan murid-murid.
                   'Terima Kasih' kepada semua pihak yang telah menjayakan perkhemahan pada tahun ini.

Laporan oleh: Pn Siti Aminah Husain,
                     Setiausaha Perkhemahan Perdana Badan Beruniform SK Dusun Tua


SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..