Rabu, 7 Mac 2012

KEM BESTARI SOLAT 1 / 2012

Program Kem Bestari Solat (KBS) ini merupakan program yang wajib dihadiri oleh semua murid Islam yang bertujuan untuk melihat dan menilai tahap pencapaian murid tahun 1 – 6. Ini adalah untuk memastikan murid dapat mendirikan solat dengan sempurna dari segi bacaan dan perlakuan sama ada secara bersendirian mahupun berjemaah secara berterusan/istiqomah.

Bermula pada pukul 7.30 – 7.40 dengan sesi taklimat KBS yang disampaikan oleh Pn. Salina Khalid, Ketua Penitia Pendidikan Islam. Seterusnya disusuli dengan aktiviti senaman yang dikendalikan oleh guru-guru praktikum.

Program ini dibahagikan kepada 3 slot iaitu LDK 1, LDK 2, dan LDK 3.

Pengisian aktiviti adalah seperti berikut ;

Tahun 1 – air mutlak, rukun dan sunat wudhu’, doa selepas wudhu’ dan perkara-perkara yang membatalkan wudhu’.

Tahun 2 – bacaan niat solat fardhu, bacaan doa iftitah dan bacaan al-Fatihah

Tahun 3 – bacaan doa iftitah, tahiyyat awal dan tahiyyat akhir serta doa qunut.

Tahun 4 dan Tahun 5 – syarat-syarat wajib dan sah solat, bacaan dalam solat serta makmum muafik dan masbuk.

Murid-murid berehat pada pukul 10.30 – 10.45 pagi bagi tahap 1, manakala tahap 2 berehat pada jam 10.45-11.05. Mereka dihidangkan dengan nasi lemak. Selepas rehat, murid-murid terlibat dengan latihan amali solat di Dewan SKDT. Kem Bestari Solat berakhir pada pukul 12.30 tengah hari.

Laporan oleh ; Pn. Salina Khalid, Ketua Panitia Pendidikan Islam SK Dusun Tua


Jumaat, 2 Mac 2012

PELANCARAN PROGRAM 'NILAM' 2012

Program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) peringkat SK Dusun Tua, telah dilancarkan dengan rasminya oleh Pn. Hjh. Kasmani Salleh @ Yong, GPK Tadbiran & Kurikulum. Program NILAM anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia ini, bermatlamatkan agar terbinanya tabiat membaca di kalangan murid sekolah pada peringkat awal lagi. Melaluinya, murid digalakkan banyak membaca, di samping menggalakkan pihak sekolah menjana idea kreatif dan inovatif dalam menyemai tabiat membaca di kalangan murid-murid. Dengan penguasaan ilmu membaca, membolehkan murid meneroka ilmu yang tidak bersempadan ini.
Majlis pelancaran ini adalah titik bermulanya program membaca untuk murid, dengan sasaran kesemua pelajar dapat membaca 100 buah buku menjelang akhir tahun ini. Diharapkan murid-murid dapat menyahut cabaran bagi membentuk individu yang lebih berilmu - bukan saja dari segi akademik, tetapi juga dari segi sahsiah dan rohani.
Pada majlis ini, Guru-guru Penolong Kanan telah diberikan sebuah buku ensiklopedia untuk ditandatangani, sebagai simbolik pelancaran NILAM bagi tahun ini. Di majlis yang sama, Pn. Hjh. Kasmani menyampaikan sijil dan lencana rakan pembaca kepada rakan pembaca yang telah mencapai pingat gangsa, perak dan emas. Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu tema NILAM ~ "MEMBACA MENJANA MINDA BESTARI", oleh Pengawas Pusat Sumber Sekolah.

- Laporan oleh ; Pn. Sapiah Daud, Guru Media SK Dusun Tua.



Selasa, 21 Februari 2012

PROGRAM TRANSISI DAN ORIENTASI TAHUN 1 SESI 2012

Program Transisi dan Orientasi Tahun 1 telah dijalankan selama 2 minggu bermula 3 Januari hingga 13 Januari 2012 di SK Dusun Tua, Hulu Langat. Program tersebut melibatkan semua murid Tahun 1, guru-guru dan staf sekolah. Bermula dengan taklimat kepada ibu bapa mengenai pengurusan pendaftaran murid, perjalanan orientasi, hal ehwal murid serta maklumat penting seperti KSSR, PBS, MBMMBI, LINUS dan sebagainya. Taklimat yang berkaitan telah disampaikan oleh Guru Besar SKDT, Guru Penolong Kanan HEM, dan Penyelaras Program Transisi Tahun 1/2012. Di samping taklimat tersebut, ujian bertulis juga telah dijalankan ke atas murid-murid bagi menentukan kelas yang akan diduduki.
Sepanjang minggu orientasi, berbagai aktiviti telah dirancang berlangsung dengan lancar. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah aktiviti mengenal rakan-rakan sekelas, guru-guru Tahun 1 dan juga mengenal kawasan sekolah untuk menyesuaikan diri murid-murid dengan suasana persekolahan yang baru. Antara lainnya, murid juga telah menyertai aktiviti yang melibatkan matapelajaran yang akan mereka belajar di dalam kelas menggunakan modul KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) melalui aktiviti membaca, menulis, mengira dan mewarna. Murid-murid juga diuji tahap kecerdasan mereka melalui aktiviti sukaneka sebelum mereka mengakhiri Program Transisi dan Orientasi Tahun 1.
Tanggal 16 Januari 2012, satu Majlis Penutupan Program Transisi Tahun 1 telah diadakan secara ringkas pada waktu perhimpunan pagi di mana murid-murid Tahun 1 telah menyanyikan lagu Anak Cemerlang beramai-ramai. Sebagai tanda program tersebut telah tamat dengan jayanya, murid-murid telah diberikan saguhati kerana telah berjaya menjalani program transisi dan orientasi sehingga akhir.
- Laporan oleh Pn. Cik Zuhal Aleas, Penyelaras Program Tahun 1 sesi 2012

Rabu, 15 Februari 2012

BLOG AKAN DIKEMASKINI BAGI SESI PERSEKOLAHAN2012..

Terlebih dahulu, admin blog HEM SKDT memohon kemaafan kepada saudara pengunjung, khasnya warga sekolah ~ para guru, staff, murid-murid serta ibu bapa penjaga pelajar yang sesekali menjengah ke blog ini. Kekangan masa, ketiadaan bahan dan laporan telah menyebabkan blog ini agak lama tidak dikemaskini. Inilah masalah yang seringkali blogger yang dipertanggungjawabkan mengendali sesuatu blog hadapi, dalam memuaskan hati pengunjung dan 'pengikut setia', 'menikmati' rencah berita dan cerita yang hendak dipaparkan..

InsyaAllah, selepas ini, apa-apa bahan dan maklumat akan cuba dimuatkan dalam blog ini, agar warga sekolah (guru, staff & murid-murid) serta ibu bapa penjaga pelajar dapat mengetahui perkembangan yang berlaku di sekolah tercinta kita ~ SK Dusun Tua bagi sesi 2012.

Khamis, 8 September 2011

"SELAMAT HARI RAYA'

Bagi pihak barisan pentadbir SK Dusun Tua, kami mengucapkan "SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR & BATIN" ~ buat semua pengunjung blog ini, dan khususnya kepada warga SKDT (guru, staff, murid, dan ibu bapa penjaga murid).
Semoga lebaran mengeratkan hubungan sesama kita..
Wassalam.

Rabu, 3 Ogos 2011

'SELAMAT BERPUASA'

Bagi pihak pentadbiran SK Dusun Tua, diucapkan 'Selamat Berpuasa' kepada semua muslimin dan muslimat, khususnya kepada warga pendidik dan murid-murid di daerah Hulu Langat.

Semoga Ramadhan al-Mubarak mampu mentarbiah kita untuk menjadi seorang hamba yang lebih beriman dan bertaqwa, serta mampu membentuk peribadi mulia.. Amiin!



Selasa, 12 Julai 2011

SYABAS ~ PASUKAN 'ACTION SONG COMPETITION' SK DUSUN TUA

Meskipun pertama kali menyertai pertandingan, pasukan 'Action Songs' SK Dusun Tua telah berjaya menjadi johan di peringkat Zon Cheras. Kita berjaya mengalahkan 8 buah sekolah yang lain.
Pada peringkat daerah Hulu Langat, pasukan bimbingan Pn. Cik Zuhal Aleas dan Pn. Nur Hafizah Md. Faiz ini, yang dibantu En. Muhd. Ahyauddin Samsudin dan En. Mohd. Shukur (guru praktikum IPGM Teknik), telah berjaya mendapat tempat ketiga. Yang menariknya, peserta SKDT membuat persembahan ketiga, dan secara kebetulan pula mendapat tempat ketiga.
SYABAS diucapkan kepada semua guru pembimbing dan murid-murid yang terlibat. Semoga lebih berjaya pada masa hadapan.

*Laporan oleh Pn. Cik Zuhal Aleas, Guru Pembimbing Pasukan 'Action Songs' SKDT

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..