Selasa, 29 September 2009

TERIMA KASIH, PARA PELATIH DI SKDT..

SK Dusun Tua telah menerima seramai 8 orang guru pelatih (KPLI) yang menjalani latihan praktikum bermula 22 Jun lalu, dan berakhir pada 18 September.

Mereka ialah En. Mohd. Noorshamsuri Khamaluddin, En. Mohd. Faisal Mamat, Cik Nurul Hidaya Yahya, dan Cik Rofadulakma Hussain dari Institut Perguruan Islam Selangor (IPIS).
Turut menjalani praktikum di SKDT adalah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu Cik Nur Syuhada Sulaiman dan Cik Nor Hafizah Ismail, serta pelatih Institut Perguruan Teknik (IPT) Cik Faizulaini Abd. Fathi dan Cik Emi Fadhilah Deraman.

Selama menjalani latihan praktikum, banyak sumbangan yang telah diberi oleh pelatih-pelatih berkenaan kepada pihak sekolah.
Justeru, pihak SKDT merakamkan ungkapan - "TERIMA KASIH, buat kalian. SEMOGA BERJAYA MENJADI PENDIDIK TERBAIK".

En. Mohd. Noorshamsuri Khamaluddin dan En. Mohd. Faisal Mamat mengambil kesempatan bergambar dengan barisan pentadbir, rakan guru dan murid-murid.

MAJLIS SUMBANGAN KEPADA ANAK YATIM & MISKIN

Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidil Fitri, pihak sekolah tidak melupakan nasib anak-anak yatim dan miskin warga SKDT. Saban tahun, acara sumbangan (wang) kepada mereka, dibuat menjelang cuti perayaan tersebut.
Seramai hampir 30 orang anak-anak yatim dan miskin menerima sumbangan berkenaan daripada Pn. Hjh. Masirah Rahmad, Guru Besar SKDT dalam majlis yang serba ringkas tetapi amat bermakna kepada anak-anak ini.

Pada akhir majlis, turut diadakan sesi bersalaman dan bermaafan antara warga pendidik, staf sokongan serta murid-murid.
Bermaaf-maafan, menghilang yang keruh, menjernih suasana. Linangan airmata, tanda penuh ketulusan. Erat pelukan, akrab persaudaraan.

MAJLIS PENUTUP BULAN KEMERDEKAAN

Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan diadakan pada 16 September lalu bertempat di Dewan SKDT. Pelbagai acara dijalankan seperti persembahan para pemenang dalam pertandingan lagu patriotik, bacaan Rukunegara, selain turut dipamerkan Kad Ucapan Kemerdekaan Gergasi.
Selama sebulan sambutan kemerdekaan, acara-acara yang dijalankan menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada murid-murid.

Semoga program yang dilaksanakan itu mampu menyemai dan memupuk semangat patriotik di kalangan anak-anak SKDT.

Selasa, 8 September 2009

TERIMA KASIH, KPM!

TERIMA KASIH - Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), kerana sentiasa prihatin terhadap kebajikan murid/pelajar. Sememang banyak bantuan yang telah KPM beri antaranya Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Skim Baucer Tuisyen (SBT), dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Terkini, dalam menangani wabak Influenza A H1N1, KPM telah menyumbang topeng hidung/mulut kepada murid/pelajar. Difahamkan, KPM telah memperuntukkan sejumlah RM5 juta bagi kos pemberian topeng hidung/mulut, sanitizer dan alat termometer ke sekolah-sekolah seluruh negara.

Pemberian kali kedua ini, khusus kepada calon UPSR. Setiap murid dibekalkan tiga keping topeng (satu, sehari), selain sanitizer bertujuan mencegah penularan wabak penyakit tersebut di kalangan calon UPSR.

Pihak KPM juga turut memberi penerangan dan panduan kepada semua pengetua/guru besar usaha-usaha serta langkah pencegahan yang perlu diambil bagi menghadapi ancaman H1N1 ini.

Pihak ibu bapa penjaga murid perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak sekolah dengan sebarang tindakan yang dilaksanakan, demi kebaikan bersama.

SELAMAT MENGHADAPI UPSR. SEMOGA BERJAYA!

Isnin, 7 September 2009

MAJLIS MOHON RESTU - CALON UPSR

Murid-murid Tahun 6 seluruh negara akan menghadapi UPSR bermula Selasa ini (8 September), hingga Khamis (10 September). Seperti biasa, menjelang peperiksaan, satu majlis 'Mohon Restu' telah diadakan pada pagi 5 September bertempat di dataran perhimpunan.

Pn. Hjh. Masirah Rahmad (Guru Besar) dan Pn. Kasmani Salleh (GPK Kurikulum) telah menyampaikan beberapa amanat dan nasihat kepada calon-calon UPSR sekolah. Dorongan dan kata-kata nasihat pada saat akhir ini diharapkan mampu membakar semangat mereka dalam menghadapi UPSR nanti.

Pada majlis itu juga, calon-calon UPSR telah diberikan alat tulis hasil sumbangan pihak sekolah. Semoga anak didik SKDT berjaya di dalam UPSR nanti.

Sabtu, 5 September 2009

PEMBERIAN TOPENG MULUT/HIDUNG

Sebelum cuti pertengahan penggal lalu, pihak Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat (PPDHL) telah mengedarkan topeng mulut/hidung, sanitizer dan termometer kepada sekolah-sekolah di Hulu Langat. Ianya adalah sumbangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam usaha menangani wabak influenza A H1N1 di kalangan pelajar sekolah.

Memandangkan bilangan topeng mulut/hidung yang diberi tidak mengikut jumlah ramai pelajar di sesebuah sekolah, maka pihak SKDT mengambil keputusan mengagihkan topeng tersebut kepada murid-murid yang menerima bantuan KWAPM, miskin serta anak-anak yatim.

Pemberian telah dibuat pada pagi Jumaat, 4 September. Seramai 50 orang murid bantuan KWAPM dan kurang 20 orang anak yatim menerima topeng hidung/mulut berkenaan. Guru Bimbingan & Kaunseling, Pn. Hjh. Nyai @ Mariani Ujud, telah membantu mengagihkan topeng kepada para penerima.

Semoga murid-murid tersebut menghargai pemberian itu dengan memanfaatkannya, seterusnya diharapkan tiada warga SKDT yang mengalami wabak penyakit berkenaan.

Rabu, 2 September 2009

BULAN KEMERDEKAAN (PERINGKAT SEKOLAH)


Pelancaran Bulan Kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan Ke-52, telah dibuat pada 17 Ogos lalu. Panitia Kajian Tempatan, Panitia Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan, Panitia Pendidikan Seni dan Panitia Pendidikan Muzik telah bekerjasama merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti melibatkan warga SKDT.

Program yang berjalan selama sebulan ini bertujuan menyemai perasaan cintakan tanahair, memupuk semangat patriotik, mengamalkan toleransi demi perpaduan, di samping mencungkil bakat seni dan daya kreatif murid-murid.

Antara aktiviti yang diadakan ialah Pertandingan Mencipta Kad Ucapan Gergasi, Pertandingan Menghias Kelas, Pertandingan Lagu Patriotik, Pertandingan Basikal Patriotik dsb.

Semoga warga SKDT dapat melibatkan diri dalam segala aktiviti yang dianjurkan, demi mewujudkan warga Malaysia yang setia serta kuat semangat patriotismenya terhadap nusa dan bangsa.

KELAS TAMBAHAN PADA CUTI SEKOLAH

Sebagai mengisi waktu cuti persekolahan pertengahan penggal kedua, Jawatankuasa Program Peningkatan UPSR telah mengadakan kelas tambahan bagi murid-murid Tahun 6.

Meskipun banyak sekolah dalam Zon Cheras tidak mengadakan kelas tambahan kepada calon UPSR, memandangkan bulan puasa, namun demi meningkatkan kefahaman serta pengukuhan kepada murid-murid SKDT, justeru ianya diadakan.

Kelas tambahan diadakan selama tiga hari bermula Isnin (24 Ogos) hingga Rabu (26 Ogos), jam 8.00 - 11.30 pagi.

Semoga inisiatif yang dijalankan oleh guru-guru Tahun 6 yang diketuai Pn. Hjh. Sharah Ibrahim selaku Penyelaras Tahun 6, akan membuahkan hasil yang baik terhadap anak didik SKDT.
Insya-Allah.

SELAMAT BERTEMU DAN BERTAMU DI DUSUN TUA..

Salam persaudaraan buat para pengunjung blog Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Dusun Tua. Blog ini diwujudkan bagi memuatkan berita hal ehwal murid sekolah ini. Semoga dengan paparan yang diberi, sedikit sebanyak dapat menghebahkan aktiviti dan berita berkisar sekolah, di samping diharapkan turut merapatkan hubungan ibu bapa penjaga murid dengan warga kerja sekolah. Selamat membaca..